Penduduk Tudan memiliki keunikan tersendiri di mana mereka tidak mengenal bulu dan menghantar anak mereka ke SJKC Chung Hua yang menggunakan aliran bahasa Cina. Menurut statistik yang diterima, seramai 46% sahaja murid berbangsa Cina manakala selebihnya adalah dari golongan bumiputera.
Inilah keunikan sekolah di Tudan yang merupakan sekolah 1 Malaysia walaupun di bawah jenama Chung Hua. Perdana Menteri juga mengumumkan kerajaan pusat akan menambah dana hasil kutipan PIBG sekolah tersebut untuk menampung pelan pembangunan keperluan pelajar yang semakin meningkat di sekolah tersebut.
Kerajaan pusat pertimbang peruntukan kepada SJKC Chung Hua Tudan
Utusan Borneo
MIRI (21 Feb 2013): Kerajaan pusat akan mempertimbangkan jumlah peruntukan yang akan diberikan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Tudan bagi menampung pelan pembangunan keperluan pelajar yang semakin meningkat di sekolah itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan perkara tersebut, semasa berucap menyempurnakan pelancaran rasmi sekolah berkenaan yang terletak di Tudan, dekat sini, petang semalam, berkata kerajaan pusat akan membantu dari segi peruntukan bagi mencukupkan dana yang akan dikutip oleh pihak lembaga sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah.
“Saya menggalakkan ibu bapa dan guru mengutip dana bagi membina blok bangunan yang baharu dan kerajaan pusat nantinya akan menambah jumlah dana tersebut menerusi peruntukan,” katanya tanpa menyebut jumlah peruntukan yang akan diberikan.
SJK (C) Chung Hua memperlukan peruntukan sebanyak RM1.63 juta untuk membina sebuah lagi bangunan baharu yang mempunyai 12 buah bilik darjah (berjumlah RM1.1 juta) dan kos untuk mengecat semula seluruh bangunan sekolah (RM500,000) serta menukar bingkai-bingkai cermin bangunan (RM10,000).
Sekolah tersebut kini mempunyai 1,257 murid dengan 56 peratus daripadanya ialah pelajar bukan berbangsa Cina dan hanya 44 peratus sahaja pelajar berbangsa Cina. Terdahulu dalam ucapannya, Ahli Parlimen Miri merangkap Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin memberitahu, beliau yang amat menyokong permohonan peruntukan oleh guru besar sekolah tersebut, amat berterima kasih kepada Perdana Menteri atas kesediaan beliau meluluskannya.
Ini kerana menurut Chin, jika peruntukan tersebut diluluskan maka pihak lembaga sekolah dapat memulakan segera pelan pembangunan baharu sekolah itu yang bertujuan untuk menjamin keselesaan dan kemudahan yang baik bagi murid-murid, guru-guru dan masyarakat setempat di kawasan tersebut.
Chin memberitahu, SJK (C) Tudan telah diluluskan pembinaannya oleh kerajaan pusat pada 12 Mei 2001 diikuti dengan majlis pecah tanah pada 30 Ogos oleh Datuk Hon Choon Kim yang merupakan Timbalan Menteri Pelajaran pada masa itu.
Pada 23 April 2004, sebuah jawatankuasa protem telah ditubuhkan bagi memulakan kempen memungut derma daripada orang awam untuk tujuan pembinaan sekolah.
Setelah semua urusan selesai, akhirnya pada 3 Januari 2007, hari persekolahan telah bermula di SJK(C) Chung Hua Tudan, bermula dengan 362 murid dan 16 guru.
Jumlah murid kemudian meningkat kepada 556 orang dengan 50 peratus daripada pelajarnya berbangsa Cina manakala separuh lagi ialah kaum Bumiputera.
“Sepanjang tempoh pembinaannya hingga 2008, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah tiga kali memberikan peruntukan bagi menyempurnakan lagi kemudahan sekolah,” katanya.
Pada hari ini, bilangan murid di SJK(C) Tudan telah bertambah kepada 1,257 orang, meningkat berkali ganda berbanding pada awal pembukaannya.
Peningkatan tersebut mendadak kerana sekolah tersebut adalah satu-satunya sekolah aliran bahasa Cina di kawasan Tudan, Permyjaya dan Senadin, menyebabkan ia menjadi sekolah tumpuan.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!