Adenan dijangka bentuk barisan kabinet baharu
14 Feb 2014 Utusan Borneo
KUCHING: Barisan kabinet negeri yang baharu dijangka akan dibentuk susulan pelantikan Menteri Tugas-Tugas Khas Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem sebagai Ketua Menteri menggantikan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Dr James Masing berkata, sebagai Ketua Menteri baharu sudah pasti Adenan akan menubuhkan pasukannya sendiri bagi memantapkan lagi pentadbiran negeri.
“Bila beliau (Adenan akan) berbuat demikian, saya tidak tahu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama presiden parti-parti komponen BN negeri di sini, malam kelmarin.
Adenan akan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin pada 28 Februari.
Peletakan jawatan Taib sebagai Ketua Menteri juga akan berkuat kuasa pada tarikh berkenaan.
Sambil menyifatkan proses peralihan tampuk kepimpinan negeri berjalan lancar, Masing berkata beliau agak terkejut apabila Taib mengumumkan peletakan jawatan kelmarin selepas menghadap Tun Salahuddin.
Bagaimanapun, beliau berkata proses itu telah membabitkan pucuk pimpinan parti-parti komponen BN negeri, dan beliau berpuas hati serta menegaskan sekali lagi menghormati keputusan Taib untuk bersara.
“Apa yang penting ialah semua pemimpin parti politik (komponen BN negeri) berada di sana. Jadi ia tidak dilakukan oleh beliau sendirian,” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!