Pemimpin akan datang perlu fahami politik pembangunan dan bekerja bersama rakyat
October 2, 2010, Saturday
by Wan Ali Amit.
|
MAKANAN TRADISI: Taib memotong ketupat sambil dibantu oleh Mohd Naroden dan disaksikan Asfia (kanan), Julaihi (dua kanan), Mohammad Ali (tiga kanan), Abdul Karim (kiri) pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri di Asajaya, semalam. |
ASAJAYA: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berharap pemimpin-pemimpin generasi akan datang memahami perjuangan politik dan berusaha lebih gigih untuk mencapai kemajuan lebih pesat di negeri ini.
Menurutnya, landasan politik pembangunan yang telah beliau ilhamkan sejak memimpin negeri ini kini telah dinikmati oleh seluruh lapisan rakyat.
Justeru, kejayaan dan kemajuan yang dicapai pada masa sekarang perlu dipertingkatkan untuk kesejahteraan rakyat dan masa depan negeri.
“Saya sudah tua dan sebelum saya berundur saya berharap para pemimpin generasi sekarang memahami perjuangan politik dan berusaha lebih keras untuk memantapkan kemajuan yang telah kita kecapi,” katanya.
Berucap pada majlis Ramah Mesra Aidilfitri Peringkat Bahagian Samarahan di Kompleks Sukan Asajaya di sini semalam, Taib percaya perjuangan para pemimpin yang ikhlas kepada rakyat akan membawa kejayaan lebih besar. Beliau menarik perhatian pemimpin-pemimpin terutamanya peringkat akar umbi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) harus berusaha membina kejayaan yang lebih baik kepada rakyat.
Taib yang juga presiden PBB berkata kejayaan besar yang dikecapi sekarang adalah hasil corak pemikiran yang dinamik pemimpin dan rakyat yang mahukan perubahan dan pembangunan.
“Saya telah meletakkan asas kukuh dalam perjuangan politik pembangunan untuk rakyat, justeru saya yakin para pemimpin sekarang akan meneruskan kesinambungan perjuangan itu untuk kita mencapai negeri maju,” katanya.
Turut hadir bersama adalah Speaker Dewan Undangan Negeri Dato Sri Mohd Asfia Awang Nassar, Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber Mohd Naroden Majais, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya Abdul Karim Rahman Hamzah, ADUN Muara Tuang Datuk Seri Mohammad Ali Mahmud, ADUN Sadong Jaya Datuk Wan Wahab Wan Sanusi dan ADUN Sebuyau Julaihi Narawi.
Majlis anjuran bersama cawangan PBB Bahagian Samarahan itu dihadiri lebih 2,000 penduduk pelbagai kaum dari sekitar bahagian terbabit.
Taib menegaskan corak pemikiran rakyat yang bersikap mahu mencapai kemajuan adalah rahsia kepada kemajuan yang dicapai rakyat negeri ini.
“Kita akui rakyat negeri ini terutama masyarakat Melayu ternyata mengalami kemiskinan suatu ketika dahulu. Tetapi sekarang pemikiran mereka telah berubah dan melangkah berani untuk maju ke hadapan."
“Dahulu sekitar 60-an pendapatan perkapita negeri kita cuma RM660 setahun, tetapi sekarang telah menjangkau RM270,000 setahun. Ini membuktikan kita telah mencapai kemajuan yang amat pesat,” katanya.
Ketua Menteri berkata miskin bukan kerana kita tidak mempunyai wang ringgit dan kaya bukan disebabkan ada wang. Tetapi, punca masyarakat kita menjadi kaya adalah mereka (rakyat) sentiasa berusaha gigih untuk mencapai kejayaan, tegas beliau.
mukapetang: Benar kata CM! Esok Sarawak akan mendapat anugerah lagi. Kali ini merupakan pelan yang telah disusunatur oleh kerajaan. Ketika berucap di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri YB Fadillah Yusoff berkata 4 Oktober 2010 merupakan hari yang bersejarah dalam Sarawak. Ia merupakan hari di mana ETP atau Economic Transformation Plan (Pelan Transformasi Ekonomi) akan dibentangkan. Ia akan berlangsung selama 2 hari bermula 4 Oktober 2010 di Hotel Fourpoints Kuching. Untuk maklumat lanjut sila layari http://www.pemandu.gov.my
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!