Ikutilah laporan Projek Jiwa Murni yang dikeluarkan dalam Utusan Borneo pada Sabtu lalu.
Utusan Borneo : Posted on January 8, 2011, Saturday
SEMATAN: Jangan cuba memanipulasikan Projek Jiwa Murni oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai agenda politik kerajaan.
Perkara ini ditegaskan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Jiwa Murni di Kampung Sebat Melayu di sini semalam.
Menurutnya, pihak tentera adalah satu jabatan yang bersifat profesional dan langsung tidak terlibat dalam kerja-kerja politik.
Justeru beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak mengaitkan pelaksanaan apa jua bentuk projek oleh ATM dengan politik.
“Projek Jiwa Murni yang dilaksanakan hari ini merupakan kesinambungan daripada projek asal yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ketika beliau memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan.
“Projek-projek ini dijalankan secara berterusan dan konsisten oleh pihak ATM untuk membantu masyarakat setempat di seluruh negara khususnya di kawasan pedalaman.
“Justeru kami tidak mahu projek ini dianggap sebagai kerja-kerja politik apatah lagi menjelang pilihan raya akan datang,” katanya.
Hadir sama, Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Awie Suboh, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin serta Menteri Muda Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Peter Nansian Ngusie serta ADUN Opar Ranum Mina.
Jelas Zahid lagi, kesemua projek yang dilaksanakan oleh pihak tentera dibiayai oleh 1Malaysia Development di bawah pejabat Perdana Menteri dan tidak menjejaskan peruntukan persekutuan.
Zahid bagaimanapun enggan menyatakan keseluruhan bajet yang digunakan bagi pelaksanaan Projek Jiwa Murni di seluruh negara.
“Peruntukan adalah berdasarkan kepada keperluan yang diperlukan dan akan diperluaskan lagi dari semasa ke semasa untuk memenuhi kebajikan masyarakat setempat,” katanya.
Bercakap mengenai projek tersebut, ia dilaksanakan merangkumi lima bahagian iaitu bahagian Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong dan Sarikei.
Perdana Menteri dalam pada itu dijadualkan akan merasmikan program ini bagi peringkat negeri Sarawak dan negara pada 15 Januari depan di Belaga.
1 ulasan:
Selaku anak Sarawak, saya amat berbangga dengan Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Dato' Awie Bin Suboh kerana beliau merupakan anak jati Sarawak Pertama yang berjaya sehingga ke tahap tersebut. Tahniah Dato'! (Untuk info, Dato' Awie Suboh berasal dari Kabong, Sarawak)
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!