Foto credits: jefbuj |
Adenan masih diperlukan penduduk Tanjung Datu
Posted on March 30, 2011, Wednesday
KUCHING: Arus pembangunan pesat yang melanda Tanjung Datu telah memberi keyakinan buat penduduk-penduduk di Sematan mahu mengekalkan Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem bertanding di kerusi DUN terbabit pada pilihan raya negeri, 16 April ini.
Timbalan Pengerusi Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kampung Temaga, Sematan, Johny Wahi berkata khidmat yang telah dicurahkan oleh Adenan selama lima tahun di Tanjung Datu nyata terbukti.
“Saya akui banyak perubahan telah berlaku di Sematan dan kami juga telah menerima pelbagai peruntukan kerajaan dalam melaksanakan pembangunan bagi projek-projek kecil luar bandar.
“Semua itu adalah berkat kepimpinan dan usaha gigih Tan Sri (Adenan) yang ternyata memiliki kebijaksanaan dan keterampilan sebagai wakil rakyat,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.
Justeru, Johny percaya rakyat di seluruh kawasan Sematan dan Lundu akan terus memberi sokongan padu kepada Adenan untuk mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Datu pada pilihan raya negeri kali ini.
Johny berkata sejak dipilih sebagai wakil rakyat bagi DUN Tanjung Datu pada pilihan raya negeri 2006, Adenan telah menunaikan amanah rakyat tatkala beliau sering turun padang untuk menemui penduduk pelbagai kampung.
“Saya percaya penduduk-penduduk di kawasan Tanjung Datu akan terus berjuang bersama-sama Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kesinambungan pembangunan untuk rakyat berterusan,” katanya.
Pada pilihan raya negeri 2006, Adenan mewakili PBB-BN meraih kemenangan dengan majoriti besar sebanyak 4,136 undi, menyingkirkan dua pencabarnya iaitu Sobey Daud (PKR) dengan 409 undi dan Larry Dominic Linang (Bebas) yang hanya memperolehi 35 undi.
Adenan yang merupakan Ketua Penerangan PBB Negeri juga adalah Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri.
“Saya yakin dengan kejayaan besar yang dicapai Adenan pada pilihan raya negeri lalu mampu dikekalkan pada pilihan raya negeri kali ini,” kata Johny.
1 ulasan:
Salam MP,
Semoga BN akan menang besar di Tanjung Datu kelak :-)
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!