Penduduk tolak aktiviti pembalakan
by Nick Fletcher. Posted on May 13, 2011, Friday
Syarikat pernah adakan dialog bersama JKKK Semadang namun hasrat mereka ditolak
KUCHING: Insiden di Tebedu mungkin berulang di Kampung Semadang, Penrissen dan Kampung Skio, Bau sekiranya khabar angin kemasukan aktiviti pembalakan di sekitar Jalan Semadang-Skio menjadi realiti.
Difahamkan, sebuah syarikat konsesi pembalakan swasta yang berpangkalan di Sibu telah diluluskan lesennya oleh Jabatan Hutan untuk aktiviti pembalakan di situ dan kini dalam proses mendapatkan kelulusan dua kampung berkenaan.
Menurut Ketua Kampung Semadang Samson Manggang, sebelum ini pihak syarikat terbabit pernah mengadakan sesi dialog bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Semadang berhubung hasrat mereka itu, namun ditolak.
Bagaimanapun, kemungkinan aktiviti pembalakan tersebut akan bermula dari Kampung Danu (bersempadan Kampung Semadang) kerana dipercayai surat persetujuan kemasukannya dari situ telah diluluskan oleh pihak kampung berkenaan.
Susulan itu, syarikat pembalakan tersebut kini dalam usaha mendapatkan kebenaran untuk membuat jalan balak yang menghubungkan Kampung Semadang dan Kampung Danu, selain memohon melalui Jalan Semadang-Skio.
“Penduduk kampung (Semadang) sekeras-kerasnya menolak kemasukan aktiviti pembalakan ini… saya juga difahamkan oleh Ketua Kampung Skio bahawa mereka juga membantah sepenuhnya,” katanya yang ditemu bual semalam.
Sehubungan itu, Samson berkata JKKK Semadang telah menubuhkan jawatan-kuasa bertindak bagi membantah kemasukan aktiviti pembalakan berkenaan.
“Kami kini dalam proses bantahan dan akan menolak sepenuhnya kemasukan pembalakan tersebut,” katanya.
Turut dikesali apabila syarikat pembalakan terbabit menggunakan taktik kotor dalam kelulusan lesen mereka di mana ia turut ditandatangani oleh Penghulu Penrissen Rimong Sutur.
Akan tetapi, tandatangan Rimong itu dipercayai ditiru oleh mereka setelah ia dinafikan oleh beliau (Rimong) sendiri, yang juga anak jati Kampung Semadang kerana perkara sedemikian boleh menjejaskan nama baiknya.
“Penghulu memberitahu tidak pernah menurunkan tandatangan terhadap lesen mereka (syarikat pembalakan), namun dalam lesen tersebut ada tandatangan beliau.
“Ini menunjukkan mereka meniru tandatangan peng-hulu demi mendapatkan lesen,” kata Samson sambil menambah perkara itu sudah dijelaskan kepada penduduk kampung agar tidak menimbulkan persengketaan antara penduduk dengan penghulu,” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!