Ahad, 21 Ogos 2011
Khairy Akur Dengan Keputusan Presiden UMNO
Khairy akur dengan keputusan Presiden UMNO untuk meletakkan kepentingan parti terlebih dahulu. Dia setuju dengan apa jua kata akhir kepimpinan untuk tidak meletakkan kepentingan individu mendahului kepentingan parti.
Beliau juga berharap ahli yang lain akan bersikap demikian dan akur dengan segala keputusan yang akan ditentukan oleh Presiden UMNO!!!
Khairy Terima Keputusan Jika Dirinya Bukan Calon Menang
Posted Bernama 21 Ogos, 2011 10:18 AM
KOTA BAHARU, 21 Ogos (Bernama) -- Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata beliau sanggup menerima keputusan kepimpinan untuk tidak meletakkannya sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang jika bukan dianggap calon boleh menang.
Beliau berkata keputusan mengenai calon terletak di tangan Presiden Umno merangkap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempunyai kata putus berhubung siapa calon yang membolehkan Umno dan Barisan Nasional (BN) menang.
"Jika Presiden Umno memutuskan saya bukanlah calon yang boleh menang, saya terima keputusan itu," katanya kepada pemberita pada satu majlis di sini malam tadi.
Khairy berkata perkara paling penting ialah kemenangan parti dan bukannya kepentingan individu untuk mengekalkan kuasa.
Beliau menyarankan agar semua anggota dan pemimpin parti menerima segala keputusan kepimpinan Umno tanpa wujud sebarang perasaan tidak puas hati terhadap parti.
"Jika ada anggota dan pemimpin yang tidak terpilih sebagai calon pilihan raya dan berasa tidak puas hati serta ingin bertindak mensabotaj calon lain, Pemuda akan melaporkan kepada pucuk pimpinan," kata Khairy.
Menurutnya, mereka yang tidak terpilih seharusnya akur dan menerima keputusan pucuk pimpinan Umno kerana antara kriteria yang ditetapkan ialah calon perlu diterima masyarakat setempat.
"Sekarang bukan lagi soal calon lama, popular dalam parti atau berkelulusan tinggi. Apa yang penting, adakah masyarakat menerima calon untuk memastikan kemenangan Umno dan BN," kata beliau.
-- BERNAMA
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!