Fahami masa hadapan: KM
Posted on August 30, 2011, Tuesday
KUCHING: Hari Raya merupakan masa paling tepat untuk rakyat memahami apakah masa hadapan yang akan ditempuhi mulai detik ini.
Ketua Menteri, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dalam perutusannya sempena Hari Raya berkata mulai tahun ini Malaysia akan melaksanakan Rancangan Malaysia Ke-10 dengan konsep baru dalam perancangan ekonomi.
Oleh demikian katanya, kerajaan negeri melancarkan Projek Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) bagi mengeluarkan dan memperbanyakkan sumber tenaga pada harga yang rendah.
“Seperti yang kita tahu harga minyak telahpun melambung selepas dan sebelum krisis ekonomi 2008 dan telah pun mencapai paras lebih daripada AS$100 satu tong.
“Berikutan itu, berlakunya peningkatan kepada harga-harga tambang, pengangkutan serta harga untuk mengeluarkan barang-barang di kilang-kilang,” katanya.
“Secara tidak langsung, masa depan kita akan dicabar oleh harga barang yang mungkin naik disebabkan harga-harga tenaga yang bertambah mahal.
“Oleh sebab itu, penting bagi kita mencari jalan yang dapat mengubah ekonomi kita untuk mencipta perkerjaaan dengan gaji yang lebih tinggi menerusi SCORE,” tambah beliau lagi.
Tambah Taib, susulan SCORE, lebih daripada 1.5 juta peluang pekerjaan akan dapat diciptakan bagi negeri ini.
Untuk itu katanya, kerajaan telah merancang ekonomi yang berasaskan kepada memperbanyakkan industri-industri berat di Samalaju serta industri-industri yang menggunakan cara-cara pembuatan barangan makanan dan farmasitikal di kawasan Tanjung Manis.
“Lebih daripada 52 peratus peluang-peluang pekerjaan adalah dalam bentuk yang memerlukan kemahiran dan kelayakan teknikal.
“Justeru, sebagai rakyat yang menyambut baik SCORE, kita patut mendorong anak-anak kita melatih diri dan menuntut bentuk pelajaran yang akan memberi kemahiran dan kelayakan teknikal,” tambahnya.
Taib dalam perutusannya turut mengingatkan rakyat supaya beralih cara berfikir serta menggalakkan anak-anak mendapat latihan yang sesuai dengan peluang pekerjaan yang akan ditawarkan dalam masa 20 tahun akan datang.
“Saya percaya kita akan dapat berjalan dengan baik walaupun pada peringkat awal kita belum lagi mempunyai pekerja-pekerja teknikal yang mencukupi.
“Justeru, mari lah kita bersama-sama berpakat dan bekerjasama di semua peringkat bagi membolehkan kita mengeluarkan lebih banyak lagi pekerja-pekerja teknikal.
“Inilah pesanan saya pada Hari Raya dan saya berharap sama-samalah kita berdoa agar Allah memberi berkat kepada usaha kita untuk menolong rakyat ke arah kemajuan,” ujarnya.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!