KENANGAN: Taib dan isteri, Ragad merakamkan gambar bersama ahli keluarga Asfia di Kuching malam kelmarin. |
Taib mahu lihat sejauh mana kesungguhan Abu Bekir
by Agnes Tugong. Posted on September 4, 2011, Sunday
KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mahu melihat sejauh mana kesungguhan anak lelaki sulung beliau, Dato Sri Mahmud Abu Bekir berkhidmat kepada rakyat dan negeri.
“Sepuluh tahun lepas, saya pernah meminta beliau (Abu Bekir) menggantikan tempat saya di kawasan Samarahan namun ditolak olehnya.
“Jadi, kita lihat sejauh mana kesungguhan beliau kali ini, setelah beliau sendiri menyatakan kesediaan untuk berkhidmat kepada rakyat dan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamanan Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato Sri Mohd Asfia Awang Nassar di sini malam kelmarin.
Taib turut yakin Abu Bekir dapat menggalas tanggungjawab itu serta dalam apa jua kapasiti apatah lagi beliau kini telah berjaya dalam bidang korporat.
“Saya tidak perlu bercakap banyak mengenai kerjaya anak-anak saya.
“Mereka perlu memilih apa yang mereka hendak lakukan serta bekerja keras dalam apa jua bidang yang diceburi,” katanya.
Ditanya sama ada Abu Bekir perlu meminta keizinannya, Taib berkata: “Anak-anak saya tidak memerlukan keizinan daripada saya, apa yang perlu mereka buat ialah bekerja keras dan memahami rakyat dengan lebih dekat.”
Terdahulu, Taib memberitahu pemberita bahawa beliau belum membuat sebarang keputusan mengenai rombakan kabinet kerana masih dalam suasana Hari Raya.
Hadir sama, isteri beliau, Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, menteri-menteri kabinet serta yang lainnya.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!