Oleh Sandy Mark Luna
KUCHING: Presiden SUPP Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan tidak mempunyai sebarang halangan parti untuk sesiapa yang menggantikannya nanti bukan kaum Cina.
Menurutnya, untuk mempunyai kaum Bumiputera menjadi presiden parti bukan satu perkara yang mustahil kerana majoriti ahli parti itu adalah pelbagai kaum dan tiba masanya menggunakan pendekatan tersebut.
“Kenapa tidak? Sekiranya ia merupakan jalan baik untuk meraih semula sokongan masyarakat, kita teruskan sahaja (dengan presiden Bumiputera),” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri Luar Datuk Richard Riot Jaem yang meluahkan kesediaannya untuk menjadi presiden Bumiputera SUPP yang pertama sekiranya terpilih pada Persidangan Perwakilan Tritahunan parti pada Disember ini.
Ahli Parlimen Serian selama lima penggal itu menjelaskan ia hanya akan berlaku sekiranya ahli SUPP sanggup memecahkan halangan memilih bukan Cina sebagai presiden parti.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung SUPP Dato Sri Wong Soon Koh turut bersetuju dengan presiden parti kerana SUPP mengamalkan demokratik.
“Sesiapa yang mahu berada dalam pucuk pimpinan parti amat dialu-alukan kerana dalam soal kepimpinan, kita tidak mengambil kira anda dari kumpulan kaum yang mana,” katanya.
Beliau memberitahu, sejarah parti juga pernah menyaksikan jumlah Bumiputera pernah melebihi jumlah kaum Cina.
“Jadi sekiranya anda tanya saya, saya akan menjawab ‘kenapa tidak’ asalkan mendapat sokongan dari ahli-ahli yang lain,” katanya.
Manakala Setiausaha DAP Negeri Chong Chieng Jen berpendapat kaum seseorang individu bukan faktor yang harus diambil kira dalam memberikan kedudukan dalam parti untuk menghidupkan semula parti, tetapi kemampuan seseorang itu.
“Anda tidak harus melihat warna kulit atau bangsa seseorang itu tetapi pada kemampuannya sama ada beliau dapat memperbaharui parti itu atau tidak dan itu, biarkan ahli SUPP yang memutuskannya pada persidangan mereka nanti.
“Saya rasa kita perlu melihat lebih jauh, bukan bangsa atau warna kulit tetapi kebolehan seseorang itu dan itu pegangan DAP … jadi sama ada dia bukan Cina, separuh Cina atau satu suku Cina, bukan satu persoalan,” katanya.
Katanya, sekiranya sesiapa mahu memberi nafas baru kepada parti itu, mereka harus menentang rasuah dan kronisme dalam BN.
“Ia bukan lagi sama ada anda dapat memberi sumbangan sebanyak RM10,000 atau RM15,000 kepada sekolah atau pelbagai persatuan, rakyat mahu lebih dari itu,” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!