Rakyat yang masih menghadapi pertikaian sempadan tanah hendaklah menyelesaikan masalah mereka dengan segera dan berhubung dengan Jabatan Tanah dan Survei untuk menyukat tanah mereka di bawah Insentif Baru. Tanah ini hendaklah tiada masalah atau kes mahkamah. Permohonan untuk menyukat tanah NCR boleh dibuat secara bertulis kepada Pengarah JTS.
Tujuan ini untuk menjaga kepentingan bumiputera dan memastikan mereka tidak akan hilang tanah NCR mereka kepada pihak yang tidak bertanggungjawab. Semoga kita sentiasa mengingati jasa baik pimpinan Barisan Nasional negeri Sarawak.
TERIMA KASIH: Adenan (tiga kiri) menyerahkan warta kepada wakil penduduk sambil disaksikan yang lain di Limbang semalam |
Menteri Tugas-tugas Khas Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang boleh melambatkan proses untuk menyukat dan mewartakan tanah NCR.
Menurutnya JTS sudah diarahkan untuk mengutamakan permohonan di kawasan tanah yang tidak mempunyai masalah berbanding di kawasan yang berdepan masalah tersebut.
“Kita tidak mahu timbul masalah yang boleh melambatkan proses untuk menyukat dan mewartakan tanah NCR di negeri ini.
“Oleh itu JTS perlu memberi tumpuan di kawasan yang tidak bermasalah agar proses berkaitan dapat dijalankan dengan lancar dan pantas,” katanya.
Beliau memberitahu perkara itu pada Majlis Penyerahan Warta Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri di Limbang semalam.
Hadir sama ialah ADUN Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Timbalan Pengarah (Pengurusan) JTS Negeri Sajeli Kipli dan Residen Limbang Maria Hasman.
Adenan juga mendedahkan ada pihak yang sengaja menghasut pemilik tanah agar tidak membenarkan tanah mereka disukat.
“Oleh itu mereka yang bertengkar mengenai isu sempadan tanah masing-masing agar memberi kerjasama kepada JTS sepanjang menjalankan tugas mereka,” tambahnya.
Beliau berkata lagi kebanyakan pemilik tanah yang bergaduh tidak tahu mengenai sempadan tanah NCR mereka.
“Kakitangan JTS perlu turun padang untuk memberi penjelasan mengenai status tanah mereka melalui majlis dialog bersama penduduk,”ujarnya.
Dalam pada itu katanya, kerajaan begitu komited untuk menjamin hak para pemilik tanah NCR melalui pewartaan tanah NCR sebagai Rizab Gunasama Bumiputera di bawah Sekyen 6 Kanun Tanah Negeri.
“Warta tersebut merupakan jaminan dan pengiktirafan undang-undang ke atas pemilik tanah NCR.
“Hak ke atas tanah NCR yang diwartakan adalah ditadbir dan ditentukan oleh undang-undang adat kaum yang tanahnya sudah diwartakan,”katanya.
Dengan adanya warta ini nanti, jelasnya masalah pencerobohan dapat dikurangkan kerana ia akan menerangkan dengan jelas saiz kawasan yang telah diukur.
“Ini boleh mengelakkan berlakunya banyak pertikaian tentang sempadan tanah,” tambahnya.
Wakil Penguasa JTS Bahagian Ahmad Raslan Yaiyah memberitahu 31 kawasan di negeri ini sudah diwartakan sebagai Rizab Gunasama Bumiputera.
Katanya daripada jumlah itu 17 warta sudah disampaikan kepada wakil penduduk termasuk tiga kawasan di daerah ini.
“Di Limbang tiga kawasan sudah diwartakan melibatkan kawasan Kampung Benuas/Sayung/Gumaya dengan keluasan 57 hektar.
“Kawasan lain termasuk Kampung Telahak/Binjai/Ulak/Meritam (keluasan 973 hektar) dan Kampung Meritam Limbang dengan keluasan 124 hektar,” jelasnya.
Raslan memberitahu JTS kini dalam proses mewartakan 11 kawasan yang sudah selesai diukur.
“Antaranya meliputi Paya Lakap Limbang, Kampung Pangi Lawas, Kampung Bakol Limbang, Punang Berayong Lawas, Kampung Sayung/Sembiling/Batu Lapan dan kawasan berkaitan lain.
“JTS menggalakkan pemilik tanah NCR untuk menghantar permohonan secara bertulis untuk pengukuran di bawah Inisiatif Baru.
“Tanah yang dipohon untuk diukur mestilah bebas daripada pertikaian dan sebarang kes mahkamah.
“Bagi kawasan yang memiliki tanah NCR sahih, tetapi masih belum diukur, JTS dijangka akan memulakan kerja pengukuran dalam masa terdekat ini,” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!