Calon Presiden SUPP, Peter Chin, Masih Harap Pertandingan Sihat09 Disember, 2011 19:32 PM
KUCHING, 9 Dis (Bernama) -- Calon Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak(SUPP) Datuk Seri Peter Chin masih mengharapkan satu pertandingan sihat akan berlangsung, meskipun berdepan ancaman boikot oleh saingannya, Timbalan Setiausaha Agung parti itu Datuk Seri Wong Soon Koh, pada persidangan perwakilan tiga tahun sekali SUPP esok.
Chin, yang juga setiausaha pengelola SUPP serta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, berkata ia terpulang kepada jawatankuasa pusat (CC) sebagai badan pembuat keputusan tertinggi parti itu untuk melantik presiden dan penyandang jawatan lain selepas 600 perwakilan membuat pemilihan anggota CC.
"Namun, jika tindakan boikot benar-benar dilakukan, saya akan berasa amat sedih kerana Soon Koh dan (lima) Anggota Dewan Undangan Negeri kami memilih untuk menjauhkan diri daripada persidangan sepenting ini.
"Kita menyuarakan hasrat untuk menjadi presiden atau memegang jawatan lain, jadi kita perlu hadir ke mesyuarat ini kerana ia cara kita memilih... Jika anda tidak hadir, bermakna anda melucuthakkan peluang untuk menjadi seorang pemimpin," katanya kepada pemberita Jumaat selepas menghadiri mesyuarat CC yang dipengerusikan Presiden SUPP yang bakal berundur Tan Sri Dr George Chan di ibu pejabat parti itu di sini.
Mengulas spekulasi beliau mungkin menang jawatan tertinggi parti hanya disebabkan Wong dan pasukannya memutuskan untuk tidak menyertai persidangan itu atas dakwaan penyelewengan dan manipulasi di peringkat cawangan, Chin berkata beberapa pemimpin parti berkenaan tidak menghormati proses pemilihan.
"Saya selalu berkata kita semua adalah rakan seperjuangan dan juga adalah saudara. Jika anggota CC memilih Soon Koh berbanding saya atau orang lain, kita perlu mengucapkan tahniah kepada beliau, dan jika mereka memilih saya, beliau juga perlu mengucapkan tahniah kepada saya," katanya ketika ditanya mengenai Wong, yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kerajaan Tempatan Negeri.
Chin berkata walau apapun yang berlaku, Wong masih pemimpin SUPP di Sibu manakala beliau di Miri.
Ditanya sama ada mempunyai pasukan jika dipilih sebagai presiden parti yang baru, Chin berkata beliau tidak menetapkan sesiapa untuk menjadi Timbalan Presiden, Setiausaha Agung atau Bendahari SUPP kerana mahu perwakilan memilih anggota CC yang berkebolehan untuk bekerjasama dengan beliau.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka merasmikan pembukaan persidangan itu di sini petang esok.
1 ulasan:
tahniah masuk dalam ranking...
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!