SUPP lulus had tempoh perkhidmatan
Posted on December 10, 2011, Saturday
KUCHING: Jawatankuasa Pusat (CC) Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) semalam meluluskan pindaan perlembagaan yang akan mengehadkan tempoh perkhidmatan barisan kepimpinan parti.
Presidennya, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan berkata, pindaan itu akan berkuat kuasa selepas dikemukakan dan seterusnya diluluskan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
“Kita memberi had (tempoh perkhidmatan) untuk memberi peluang kepada orang lebih muda (mengambil alih),” katanya pada sidang media di ibu pejabat SUPP di sini, semalam.
Oktober lalu, Dr Chan memaklumkan bahawa pindaan perlembagaan itu akan dibincangkan pada Persidangan Perwakilan SUPP dan seterusnya dikemukakan kepada ROS.
“Bagi saya, ia (had penggal barisan kepimpinan) adalah sesuatu yang baik kerana ia membolehkan sesiapa yang berkuasa akan mencapai apa yang mereka mahu lakukan dan ahli parti yang lebih muda akan mempunyai rasa bertanggungjawab,” katanya yang dipetik sebagai berkata pada Oktober lalu.
Tempoh perkhidmatan untuk barisan kepimpinan seperti Presiden, Timbalannya dan Setiausaha Agung akan dihadkan kepada tempoh tertentu.
Ia turut merangkumi Menteri, Setiausaha Politik sama ada dari peringkat negeri mahupun persekutuan.
Had tempoh itu merupakan antara isu yang diutarakan dalam Pelan Maju parti.
Dalam buku tersebut, dinyatakan bahawa jawatan Presiden tidak patut menjangkau sembilan tahun daripada tarikh beliau dipilih atau dilantik.
Manakala untuk menteri persekutuan, timbalan ketua menteri dan menteri negeri, tempoh maksimum adalah dua penggal, manakala tiga penggal untuk timbalan menteri dan menteri muda.
Tempoh maksimum bagi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri pula adalah empat penggal pilihan raya.
Bagaimanapun, had tempoh itu akan disambung sekiranya Ahli Parlimen atau ADUN itu dilantik sebagai menteri, timbalan menteri atau menteri muda dan setiausaha parlimen.
Bagi setiausaha politik di peringkat persekutuan dan negeri serta kaunselor, had jangka masa perkhidmatan mereka ialah selama enam tahun, manakala senator (satu penggal), pengerusi pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun (lapan tahun).
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!