10 Disember, 2011 18:56 PMKUCHING, 10 Dis (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Sarawak telah merangka dasar baru yang akan mengubah asas ekonomi dan sosial negeri ke era lebih cemerlang, berasaskan dasar transformasi yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata selepas kejayaan membangunkan kawasan utara dan selatan Sarawak meliputi Miri, Bintulu, Limbang, Kuching dan Samarahan, BN negeri kini giat membangunkan wilayah tengah melalui pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
"Dengan pembangunan itu kerajaan negeri akan melakukan transformasi seluruh Sarawak menjelang tahun 2020 melalui pembangunan infrastruktur asas dan utiliti untuk terus memacu pembangunan masa depan sejajar dengan impian kita di Sarawak untuk sama-sama mencapai tahap negara maju," katanya, di sini Sabtu.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena perasmian Persidangan Perwakilan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang disempurnakan Najib selaku Pengerusi BN.
Teks ucapan Taib yang juga Pengerusi BN negeri dibaca Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.
Taib berkata rakyat Sarawak amat berterima kasih kepada kerajaan pusat di bawah kepimpinan Najib, khasnya dalam membantu pembangunan besar di negeri Sarawak ketika ini.
Peruntukan yang diberi kerajaan pusat banyak membantu dalam proses transformasi yang telah dan bakal dinikmati oleh semua kaum etnik di Sarawak.
"Tidak ada kaum yang akan tersisih di dalam usaha ini...apa yang perlu ialah supaya anak-anak Sarawak diberi latihan secukupnya dan mereka mempunyai kapasiti atau keupayaan dan kepakaran untuk turut serta dalam pelbagai kegiatan ekonomi yang tercetus dalam proses ini," katanya.
Menyentuh pilihan raya umum ke-13, Taib berkata BN Sarawak berikrar bekerja dengan lebih kuat untuk meneruskan kemenangan BN.
Sehubungan itu, beliau meminta semua parti komponen BN negeri agar menyelesaikan segala masalah dalaman agar tidak menjejaskan keyakinan rakyat terhadap BN.
Sementara itu, Presiden SUPP Tan Sri Dr George Chan Hong Nam dalam ucapannya pula berkata sepanjang tempoh 15 tahun menerajui parti yang berusia 52 tahun tersebut menyaksikan banyak cabaran yang telah ditempuhnya.
Dr Chan berkata Persidangan Perwakilan SUPP Ke-22 kali ini dilihat lebih hangat menyaksikan persaingan yang sengit dalam menjawat kerusi tertinggi parti itu.
"Saya harapkan keputusan pemilihan yang terbaik dalam SUPP yang perlukan pemimpin untuk menempuh cabaran pembangkang di negeri Sarawak dan pemimpin yang telah dipilih pastinya akan mengutamakan parti berbanding agenda peribadi," katanya.
Katanya SUPP sentiasa cuba untuk melakukan perubahan dalam parti itu untuk menjadi sebuah parti yang lebih baik mewakili pelbagai kaum dan suku kaum di Sarawak.
Beliau yang mengakhiri ucapannya dengan perkataan "Se'ati" bermaksud "bersatu" turut berharap SUPP kekal sebagai parti komponen BN yang utama dan penting serta kekal dan bersatu dalam BN.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!