Ketua masyarakat Baram bersuara
by Mohd Achil Norrlatep. Posted on April 28, 2012, SaturdayTepis tohmahan NGO tak ambil endah cadangan bina Empangan Baram
TEMENGGUNG PAHANG
MIRI: “Kami bukanlah bodoh seperti lembu yang hanya ditarik hidungnya untuk menuruti sahaja tanpa usul periksa sesuatu perkara,” kata salah seorang ketua masyarakat Baram, Temenggung Pahang Ding Anyie.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab tohmahan badan bukan kerajaan (NGO) yang mempersendakan ketua-ketua masyarakat di Baram dalam hal cadangan pembinaan Empangan Hidroelektrik Baram (Empangan Baram).
“Tidak pernah sekalipun mereka (NGO) dalam lebih 20 tahun perkhidmatan saya sebagai ketua masyarakat, bersemuka dan berbincang apa sahaja masalah atau buah fikiran,” katanya pada sidang media di Hotel Dynasty di sini, petang semalam.
Menurutnya, jika timbul perkara yang tidak memuaskan hati, ia boleh dibawa berbincang dan meja bulat adalah jawapan sebetulnya.
“Janganlah terus guna saluran surat khabar untuk berhubung dan memperkatakan yang bukan-bukan bersangkut paut dengan kami,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau turut mempersoalkan di manakah terletaknya adat dan budaya Kayan-Kenyah dalam konteks itu.
Mengenai kelayakan, kata beliau, setiap ketua masyarakat sama ada ketua kampung, penghulu, pemanca dan sebagainya mempunyai tauliah dilantik untuk jawatan berkenaan.
“Kami tahu semua adat kerana itulah yang melayakkan kami menjadi ketua masyarakat, itulah syarat utamanya, jangan cabar kami,” ujar Pahang.
Mengenai upacara sembahyang ‘Mayau Dalleh’ yang dijalankan di Nahah Itun Uvek, Long Na’ah pada Sabtu lalu, beliau menjelaskan ia adalah ‘Doa Penyuci’ yang dipimpin oleh paderi dan pastor Sidang Injil Borneo (SIB).
Ia bukannya seperti yang didakwa oleh pihak NGO bahawa upacara berkenaan sepatutnya hanya diadakan selepas ditimpa bencana besar di sesebuah kawasan.
Turut hadir pada majlis sama ialah Ketua Kampung (KK) Long Banyuk, Matthew Balang Jalong, Ketua Masyarakat (KM) Long Liam, Penghulu Ajang Wan, KM Long Silat Pemanca Joseph Ngau Lian,, KM Uma Bawang Penghulu Mering Iban Ding dan wakil KK Long Na’ah James Wan.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!