PBB Bekenu mahu Ahmad Lai kekal
by Mohd Achil Norrlatep. Posted on June 23, 2012, Saturday
SOKONGAN PADU: Ahli-ahli PBB Bekenu merakamkan kenangan selepas mencapai kata sepakat meminta Ahmad Lai dicalon semula dalam PRU13.
MIRI: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bekenu tetap mahukan penyandang kerusi Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang dicalon semula pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Ketua Sekretariat Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Sibuti, Kaunselor Annuar Mohamad berkata, kemungkinan besar protes akan berlaku sekiranya nama baharu dicalonkan nanti.
“Semua ahli di semua peringkat mahupun rakyat di kawasan ini mahu beliau dikekalkan sebagai calon dan kita telah pun bermesyuarat mengenai perkara ini,” katanya setelah selesai mesyuarat khas yang dihadiri oleh semua ahli Jawatankuasa Badan Induk, Pemuda, Wanita dan Ketua-ketua Ranting PBB Bekenu baru-baru ini.
Pada mesyuarat berkenaan, menurut Annuar, kata sepakat telah dipersetujui di mana Ahmad Lai diminta meneruskan perkhidmatan beliau untuk penggal seterusnya.
“Prestasi perkhidmatan sepanjang beliau bertugas adalah amat baik dan rakyat Sibuti turut berpuas hati,” ujarnya.
Pada masa sama, mesyuarat juga menolak jika terdapat pencalonan baharu terutamanya daripada kalangan nama-nama tidak dikenali oleh masyarakat tempatan demi mengelak perpecahan antara ahli PBB di kawasan berkenaan.
“Diharap pemimpin atasan parti (PBB) maklum dan mengambil perhatian serius akan perkara ini,” tambah beliau.
Beliau juga memaklumkan bahawa satu memorandum akan turut dihantar kepada pihak atasan agar Ahmad Lai dicalon semula pada PRU13 nanti.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!