Pemandu teksi sifatkan tr1Ma bukti keprihatinan kerajaan
Posted on June 25, 2012, Monday
KUALA LUMPUR: Para pemandu teksi menyambut baik program Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma) dan menyifatkan program itu bukti keprihatinan kerajaan terhadap beban yang mereka tanggung.
Setiausaha Persatuan Teksi dan Kereta Sewa Klang dan Pantai Selangor, Mohd Aris Mohd Isa, 57, berkata sepanjang 30 tahun memandu teksi inilah pertama kali program seumpama itu dilaksanakan yang dapat meringankan beban mereka yang menanggung kenaikan kos sara hidup.
“Program pemberian baucar tayar ini membantu pemandu teksi terutama di sekitar Lembah Kelang yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup,” katanya ketika ditemui Bernama pada majlis pelancaran program TR1Ma oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini semalam.
Pada majlis itu Najib mengumumkan pemberian subsidi tayar kepada pemandu teksi sebanyak RM520 bagi penggantian empat biji tayar.
Perdana Menteri turut mengumumkan penyediaan dana lebih RM1 juta untuk melindungi lebih 100,000 pemandu teksi seluruh negara melalui skim insurans perlindungan kemalangan diri.
S. Sunprabu, 33, dari Batu Caves, berkata pemberian itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat khususnya pemandu teksi.
“Program sebegini sebaiknya diadakan setiap tahun kerana penggunaan tayar oleh pemandu teksi hanya bertahan paling lama pun lapan bulan, selain diharap dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya,” katanya.
Seorang lagi pemandu teksi, Lim See Kui, 68, dari Petaling Jaya berkata tiada program seumpama itu pernah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini dan berharap ia dapat diadakan setiap tahun.
“Saya akan terus menukar tayar teksi di kedai yang berhampiran rumah selepas ini,” katanya.
Sementara itu seorang pemandu teksi wanita, yang hanya mahu dikenali sebagai Rosnina, 58, berkata program itu boleh membantu golongan ibu tunggal sepertinya meningkatkan taraf ekonomi.
“Skim insurans yang diumumkan itu juga sekali gus membuatkan pemandu teksi wanita seperti saya merasa selamat dan menjamin kebajikan keluarga sekiranya berlaku perkara buruk ke atas kami sewaktu bekerja,” katanya. — Bernama
Rosnina menyarankan kaum wanita di negara ini supaya jangan takut bekerja sebagai pemandu teksi kerana kerajaan sekarang menjaga kebajikan mereka. — Bernama
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!