Jangan asyik mengharap bendera percuma
by Mastura Ismail.Utusan Borneo 18 Julai 2012
LIMBANG: Masyarakat berbilang kaum di negeri ini perlu mengikis sikap suka berkira dengan hanya mengharapkan pemberian Jalur Gemilang secara percuma setiap kali menjelang Hari Kemerdekaan.
Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah berkata mentaliti negatif ini perlu dikikis kerana sudah menjadi kewajipan rakyat Malaysia menunjukkan semangat cintakan tanah air dengan mengibar Jalur Gemilang di kawasan mereka.
“Jangan berkira sangat dengan mengharap pemberian bendera secara percuma.
Kita seharusnya menunjukkan semangat sayangkan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang yang harganya tidak setanding dengan nilai kemerdekaan itu sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Pelancaran Kibarkan Jalur Gemilang Peringkat Bahagian Limbang di Dataran Jubli Emas di sini semalam.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, Residen Limbang Maria Hasman, Pegawai Daerah Limbang Anyi Ngau dan Pegawai Daerah Lawas Mohd Supaih Hamdan.
Hasbi berkata lagi masyarakat Malaysia perlu menunjukkan kesedaran yang tinggi untuk mengibar Jalur Gemilang sebagai satu cara meluahkan semangat patriostisme kepada negara.
“Saya minta semua rakyat sama ada di kampung, bandar, bangunan kerajaan mahupun komersial agar memulakan langkah untuk mengibarkan Jalur Gemilang.
“Kita tidak mahu Jalur Gemilang hanya dikibarkan di kawasan kampung dan bangunan kerajaan, tetapi perlu dilakukan secara menyeluruh tanpa mengira lokaliti, “tambahnya.
Ujarnya, sebagai tanda rasa cinta dan kasih sayang kepada negara, orang ramai perlu mengibarkan Jalur Gemilang sama ada di rumah, kedai, bangunan mahupun di kenderaan mereka dengan membelinya sendiri.
“Saya menyeru masyarakat supaya bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang bagi menunjukkan semangat cintakan negara dan terima kasih kepada pemimpin-pemimpin kita yang telah bertungkus-lumus mendapatkan kemerdekaan,” jelasnya.
Ditanya mengenai langkah kerajaan kemeriahan Bulan Kemerdekaan agar tidak dilihat ‘lesu’, Hasbi mahu agensi kerajaan termasuk Pejabat Residen lebih memperbanyakkan program kemerdekaan sehingga kemuncak sambutan Hari Merdeka pada 31 Ogos nanti.
“Sudah pasti Pejabat Residen kini mempunyai senarai aktiviti dan program kemerdekaan yang diadakan bermula pelancaran Kempen Jalur Gemilang sehingga kemuncak Hari Kemerdekaan nanti,” ujarnya.
Langkah itu katanya penting bagi memastikan sambutan kemerdekaan akan menjadi lebih meriah selain menyedarkan orang ramai mengenai perlunya mengibar Jalur Gemilang.
Terdahulu seramai 27 kontinjen menyertai perbarisan yang disusuli dengan nyanyian lagu Negaraku, upacara menaikkan bendera, penyerahan Jalur Gemilang kepada jabatan kerajaan negeri, persekutuan, wakil daerah Lawas, ketua masyarakat dan persatuan selain melekatkan Jalur Gemilang pada kenderaan.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!