Tiba masa diamkan pelampau
by Sandy Mark Luna. Posted on July 18, 2012, Wednesday
KUCHING: Golongan pelampau yang sekadar minoriti, akan terus berleluasa sekiranya tidak dikekang khasnya dalam gerakan politik.
TERIMA KASIH: Ahmad (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Adenan sebagai tanda penghargaan merasmikan seminar tersebut di Kuching, semalam.
Menteri Tugas-tugas Khas Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berkata, bagaimanapun sebahagian besar daripada rakyat lebih memilih untuk berdiam diri tanpa melakukan apa-apa untuk mengekang golongan tersebut.
“Golongan pelampau merupakan orang ‘paling bising’ kerana mahu meraih populariti dan mereka berjaya, kerana majoriti tidak berbuat apa-apa mengenainya.
“Golongan majoriti tidak boleh berdiam diri lagi kerana sudah tiba masanya untuk mereka mula bertindak dan bersuara bagi mendiamkan pelampau,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Pemahaman Kesederhanaan (Wasatiyyah) dan Gagasan 1Malaysia.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan.
Adenan memberitahu, gerakan politik seharusnya mencerminkan budaya dan watak sebenar di negeri ini.
Menurutnya, saling menghormati dan keharmornian bukan sesuatu yang disebut secara lisan, tetapi diamalkan sejak dahulu lagi di Sarawak.
“Ia bukan perkara baharu bagi kita. Malah ia patut diperluaskan ke negeri lain seperti Sabah dan Semenanjung (Malaysia).
“Saya tidak bermaksud untuk mengatakan mereka bukan seperti kita tetapi perlu mencontohi kita,” katanya.
Sementara itu, Ahmad pada sidang media selepas majlis tersebut turut bersetuju dengan Adenan bahawa rakyat perlu menyahut cabaran untuk berhenti mendiamkan diri.
“Ambil contoh perhimpunan Bersih, hanya sebilangan kecil daripada beberapa juta rakyat Malaysia yang menghadirinya dan ia merupakan petanda ramai yang tidak bersetuju dengan perkara itu, tetapi tidak melakukan apa-apa,” katanya.
Selain itu, Ahmad turut melahirkan harapan agar seminar susulan dapat diadakan di peringkat daerah dan bahagian bagi menambah kesedaran mengenai kesederhanaan dan 1Malaysia.
Menurutnya, seminar itu yang telah diadakan di 13 negeri termasuk Sarawak dan dihadiri lebih 26,000 peserta juga merupakan petanda baik untuk kerajaan menghadapi pilihan raya.
Katanya, lagi ia tetap menerima sambutan menggalakkan di negeri-negeri pembangkang seperti Selangor, Kelantan dan Kedah.
“Ia turut menunjukkan sokongan kepada kerajaan semakin bertambah,” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!