Menteri Muda Pelancongan gesa pengusaha industri inap desa untuk meningkatkan lagi promosi produk mereka serta menggandakan keuntungan.
Dia meminta pengusaha inap desa tidak bersahaja seperti hangat-hangat tahi ayam seperti pihak pembangkang semasa bukan musim pilihan raya!
Penghuni inap desa juga berpeluang meningkatkan pendapatan semasa musim pilihan raya atau mana-mana pilihan raya kecil yang amat memerlukan penginapan bagi jentera mereka. Inilah masanya semua rumah akan digunakan bagi menyelaraskan operasi dengan bersungguh-sungguh.
Pengusaha inap desa juga disarankan untuk mengadakan pakej lawatan atau pengangkutan bagi memudahkan perjalanan pengunjung dari tempat menginap ke destinasi tarikan pelancong yang utama.
Semoga saranan ini dapat dimanfaatkan oleh pengusaha inap desa semua.
Kemas kini produk inap desa: Gramong
Utusan Borneo 26 Ogos 2012, Ahad
SANTUBONG: Menteri Muda Pelancongan Datuk Gramong Juna berkata, pengusaha perlu mengemas kini produk inap desa masing-masing dan mempromosikannya dalam bentuk pakej untuk menggandakan keuntungan yang akan meningkatkan industri pelancongan negeri.
Bagaimanapun, katanya, pengusaha perlu meningkatkan produktiviti menggunakan idea kreatif yang diolah berdasarkan keadaan alam semula jadi, pengalaman mengujakan, kraftangan dan budaya setempat.
“Kita mesti lebih kreatif dalam menghasilkan produk dan mengekalkan inap desa bukan sekejap-sekejap selepas itu berhenti.
“Masalah yang sering juga dihadapi pengusaha adalah memasarkan produk mereka, tetapi perkara ini boleh dirujuk kepada persatuan menggunakan pendekatan jangka panjang menerusi teknologi ICT dan media,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung (AGM) Pertama Persatuan Pengusaha Inap Desa Sarawak (SHOA) di sini, semalam.
Mengikut perangkaan Kementerian Pelancongan Malaysia, inap desa di Sarawak berada di tangga ketujuh yang mana sektor itu mencatatkan keuntungan kira-kira RM1 juta pada tahun lalu.
Gramong menjelaskan, sejak 28 program inap desa dilaksanakan di setiap bahagian melibatkan 418 pengusaha, seramai 11,000 kedatangan pelancong dicatatkan yang mana 1,591 merupakan pelancong asing dan 9,409 pelancong domestik.
Justeru, beliau menyeru lebih ramai pengusaha di kawasan pinggir bandar, pesisir pantai serta rumah panjang menceburi industri inap desa dalam mempromosikan pelancongan negeri.
Jelasnya, Kementerian Pelancongan Malaysia dan Sarawak akan sentiasa memberi sokongan padu dan pelbagai bantuan kepada pengusaha inap desa agar menyediakan tempat yang lebih baik, selesa, cantik dan bersih kepada pengunjung.
Gramong turut mencadangkan agar produk pelancongan yang ditawarkan dalam bentuk pakej didatangkan dengan kemudahan mobiliti seperti yang telah dilakukan di beberapa negara luar yang mempromosikan sektor rumah ladang secara intensif.
Seramai 300 pengusaha inap desa seluruh negeri berkumpul untuk memilih Presiden SHOA yang baharu pada mesyuarat tersebut. Hadir sama, Presiden SHOA Isabell Julau.
Gramong kemudiannya diiringi pengusaha Inap Desa Kampung Santubong, Jamilah Shukri, Isabell dan Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Pelancongan Sarawak Nasir Lariwoo menanam pokok mangga sebagai simbolik perasmian mesyuarat.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!