AP Santubong perlu bertindak tegas ke atas segelintir kontraktor yang bermasalah di dalam konstituensi beliau. Kontraktor yang bermasalah ini akan mencerminkan usaha kerajaan yang murni dan ditranslasikan kepada pembangunan yang lembap.
Adalah wajar sekiranya kontraktor ini yang masih memberikan masalah untuk disenarai hitamkan daripada mendapat kontrak daripada kerajaan.
Mereka ini umpama duri dalam daging sahaja dan mencerminkan kerajaan lembap walhal mereka inilah yang lembap!!
Segera mula kerja, elak tindakan
by Patricia Gari. Utusan Borneo 16 Ogos 2012, Khamis
Wan Junaidi kecewa kontraktor berlengah selepas mendapat tender
KUCHING: Kontraktor yang telah ditawarkan projek pembangunan fizikal di kawasan Parlimen Santubong diminta memulakan kerja-kerja pembinaan segera jika tidak mahu tindakan diambil ke atas mereka.
Ahli Parlimen Santubong Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kontraktor-kontraktor berkenaan telah diberikan tender dua bulan lalu namun sehingga ke hari ini mereka belum memulakan sebarang kerja-kerja pembinaan.
Beliau yang ternyata kecewa dengan tindakan kontraktor-kontraktor berkenaan memberitahu telah mengarahkan Pegawai Daerah (DO) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil tindakan sewajarnya kepada kontraktor-kontraktor terbabit.
“Tender telah diberikan kepada kontraktor-kontraktor pada 16 Jun lalu dan kini sudah dua bulan berlalu, mereka masih belum lagi memasuki tapak untuk memulakan kerja-kerja pembinaan.
“Jika mereka (kontraktor) ini masih tidak memasuki tapak seminggu selepas Hari Raya Aidilfitri nanti saya mahu DO dan JKR memaklumkan kepada saya mengenai perkara ini secara bertulis agar tindakan sewajarnya boleh diambil.
“Saya mahu JKR memanggil kontraktor-kontraktor berkenaan untuk mengetahui masalah sebenar dihadapi mereka sehingga kelewatan memulakan projek berlaku,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian cek ‘Touch Point’ Siri Keempat Ahli Parlimen Santubong di sini semalam.
Wan Junaidi yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat berkata, kelewatan kontraktor-kontraktor dilantik untuk memulakan projek berkenaan tidak masuk akal memandangkan projek-projek berkenaan bernilai kurang dari RM500,000.
Beliau berkata projek-projek berkenaan melibatkan pembinaan baik pulih parit kritikal dalam kampung, projek membaik pulih pembinaan masjid dan surau serta projek membaik pulih jalan kampung.
“Saya mahu JKR dan DO di dua kawasan iaitu Kuching dan Lundu agar melihat, mengenal pasti dan memantau kontraktor-kontraktor ini. Supaya mereka boleh memulakan kerja dengan segera dan mengikut piawaian ditetapkan.
“Kelewatan mereka itu telah menimbulkan masalah kepada penduduk kampung yang berkaitan,” ujarnya.
Sementara itu, pada majlis berkenaan beliau menyerahkan cek ‘Touch Point’ bernilai RM396,500 iaitu peruntukan baik pulih parit kritikal dalam kampung melibatkan empat buah kampung, bantuan kecemasan yang diberi kepada 14 penerima dan peruntukan khas untuk rakyat dengan 53 penerima.
Penerima-penerima cek adalah dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai dan Demak Laut.
Hadir sama pada majlis itu isteri beliau Feona Wan Junaidi dan Pemanca kawasan Kuching Utara, Rashidi Junai.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!