Bintulu akan digegarkan dengan barisan artis ternama yang tidak asing lagi dalam dunia seni hiburan tanahair. Antara nama-nama yang disebut adalah Hafiz A7, Nisa Adinna, Andrewson Ngalai dan Jimmy Palikat.
Mereka akan berada di Lapangan Terbang Lama Bintulu untuk memeriahkan sambutan Hari Malaysia yang bertempat di Sarawak.
Turunlah beramai-ramai untuk menyaksikan konsert Hari Malaysia nanti!
Barisan artis ternama akan buat persembahan malam 16 Sept
Utusan Borneo on 14 September 2012, Jumaat
BINTULU: Beberapa artis ternama akan membuat persembahan sempena sambutan Hari Malaysia pada malam 16 September di tapak lapangan terbang lama di sini.
Persembahan akan bermula pada jam 7 malam oleh Hafiz AF7, Andrewson Ngalai, Jimmy Palikat dan penggesek biola Maestro, Nisa Adinna Mohd Taufik.
Hafiz yang popular dengan lagu ‘Awan Nano’ dan ‘Masih Jelas’ merupakan juara program realiti Akademi Fantasia musim ke-7 terbitan Astro.
Hafiz juga merupakan pemenang Anugerah Juara Lagu Ke-26 untuk kategori lagu terbaik dan vokal terbaik serta penyanyi popular untuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012.
Manakala Andrewson Ngalai pula yang tidak asing lagi kepada penduduk Sarawak popular dengan lagunya ‘Bekikis Bulu Betis.’
Nisa Addina pula yang merupakan juara Persembahan Seni Dunia 2011 di Hollywood, Los Angeles akan turut membuat penampilan istimewanya.
Beliau juga juara keseluruhan kategori Kontemporari dan Instrumental Klasik Dunia serta beberapa anugerah lagi di Amerika Syarikat.
Nisa mula bermain biola pada umur tujuh tahun dan merupakan ahli Orkestra Simfoni Sarawak (SONS). Beliau di bawah didikan penggesek biola terkenal Indonesia, Idris Sardi.
Turut menghiburkan hadirin pada malam itu ialah penyanyi kelahiran Sabah, Jimmy Palikat yang popular dengan lagunya ‘Anak Kampung.’
Sambutan Hari Malaysia pada malam itu akan dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta menteri-menteri kabinet persekutuan dan negeri.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!