Berubah demi aspirasi negara
by Saibi Gi dan Jessica Jawing. Utusan Borneo 14 Oktober 2012 Ahad
Golongan muda harus berani, bijak sahut cabaran dalam era realiti baharu Sarawak
PENGIKTIRAFAN KEPIMPINAN: Taib menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kajian Pembangunan) daripada Tun Salahuddin sempena Majlis Konvokesyen Ke-16 UNIMAS di Kota Samarahan, semalam.
KUCHING: Era realiti baharu dilalui Sarawak pada masa kini memerlukan golongan muda berupaya menempuh cabaran yang dinamakan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebagai C.O.M.E. atau Perubahan, Peluang, Mobiliti dan Kesamarataan.
Menurut Taib, istilah itu memerlukan golongan muda bersiap sedia melakukan perubahan demi memenuhi harapan dan pembangunan negara.
“Mereka mesti berani untuk membuat perubahan dan juga perlu bijak untuk merebut peluang yang disediakan kerajaan kerana potensi pada masa akan datang adalah amat cerah,” katanya.
Dalam ucapan penghargaannya sempena penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kajian Pembangunan) daripada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada Majlis Konvokesyen Ke-16 di Kota Samarahan dekat sini semalam, Taib berkata generasi muda merupakan komponen penting dalam meningkatkan kedudukan ekonomi negeri.
Katanya, apabila menyedari banyak peluang yang disediakan kerajaan, golongan itu harus juga bersedia menerima konsep mobiliti dalam memilih peluang pekerjaan.
Untuk beralih ke masyarakat perindustrian, menurut beliau, generasi muda perlu menyedari pekerjaan pada masa depan bukan sahaja memerlukan mereka untuk bekerja di dalam pejabat, malah di luar pejabat.
“Inilah realiti baharu yang boleh dicapai oleh generasi muda sekiranya mereka mahu menyahut cabaran C.O.M.E.,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau yakin UNIMAS mampu melahirkan generasi muda yang mampu menyahut cabaran C.O.M.E. kerana universiti merupakan tempat golongan muda belajar untuk berfikir dan menimba ilmu pengetahuan.
Universiti, katanya, merupakan tempat golongan muda mengeluarkan pendapat, berfikiran kritis, belajar menjadi pemimpin dan menghargai perbezaan pendapat.
Sementara itu, Taib berkata, generasi muda masa kini amat bertuah kerana dilahirkan dalam negara yang merdeka dan sedang mengecapi pembangunan pesat.
“Pembangunan yang dikecapi pada masa ini harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan muda untuk mencapai lebih banyak lagi kejayaan pada masa hadapan.
“Mereka juga harus sedar bahawa untuk mencapai status negara maju, kerajaan memerlukan lebih ramai tenaga mahir dari pelbagai bidang untuk membantu memacu pembangunan negara dengan lebih berkesan,” katanya.
Mengulas mengenai penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kajian Pembangunan) terbabit yang disampaikan oleh Canselor UNIMAS, Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin, Ketua Menteri berkata, ia bukan untuk diri beliau semata-mata, tetapi juga rakan-rakan seperjuangan dalam arena politik.
Menurut beliau, anugerah itu harus dipandang sebagai pengiktirafan kepada rakan-rakan seperjuangan dan pemimpin politik yang menjadikan politik sebagai platform mengubah nasib rakyat.
“Proses untuk membangunkan Sarawak bukanlah sesuatu perkara yang mudah dan cabaran datang dalam tiga bentuk utama iaitu dari segi prasarana, modal dan juga kerjasama sesama sendiri.
“Dalam usaha menghadapi dan mengatasi cabaran ini, saya turut menjadi tidak popular dalam kalangan rakan-rakan pemimpin yang melalui konsep serta cadangan yang saya cuba perkenalkan untuk membangunkan Sarawak,” katanya.
Taib yang juga Pro Canselor berkata, dari segi pendidikan iaitu melalui pembinaan lebih banyak sekolah sama ada di bandar atau luar bandar, ramai pelajar mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sekolah menengah.
“Ini sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan negara mampu melahirkan tenaga kerja yang mahir melalui pendidikan.
“Penubuhan UNIMAS pada tahun 1992 turut dilihat sebagai salah satu usaha kerajaan meningkatkan kualiti modal insan di Sarawak demi memenuhi permintaan pasaran semasa,” ujar beliau.
Sementara itu, Naib Canselor UNIMAS Datuk Dr Khairuddin Ab Hamid dalam ucapannya berkata, anugerah yang diberikan kepada Ketua Menteri itu adalah sebagai pengiktirafan ke atas kecemerlangan dan kepimpinan beliau sekali gus menjadi contoh dan inspirasi kepada komuniti universiti serta masyarakat secara keseluruhannya.
“Pehin Sri Abdul Taib Mahmud memenuhi ciri-ciri kecemerlangan kepimpinan dinamik yang berjaya membawa pembangunan signifikan dan sebenar bukan sahaja memberikan impak kepada universiti, penduduk Sarawak malah di peringkat nasional.
“Kepimpinan berteraskan falsafah serta komitmen untuk membawa transformasi pembangunan kepada masyarakat pelbagai kaum dan negeri ini seharusnya layak menjadi model untuk dicontohi generasi kini dan akan datang,” kata Khairuddin.
Taib merupakan penggerak utama dalam memodenkan Sarawak setanding de-ngan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia dan banyak perubahan yang berlaku sejak beliau mengambil alih tampuk pemerintahan Ketua Menteri pada tahun 1981, tambahnya.
Hadir sama isteri Taib, Puan Sri Ragad Kurdi Taib; Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu serta isteri Dato Sri Empiang Jabu.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!