Injunksi halang pindah aset
by Jessica Jawing. Utusan Borneo 9 November 2012, Jumaat
KAMI MAHU HAK KAMI: Antara bekas pekerja Sanmina-SCI yang berhimpun di Stadium MBKS semalam untuk memperjuangkan hak mereka mendapatkan faedah pemberhentian sewajarnya.
MTUC Sarawak akan bertemu pengurusan, hantar petisyen bekas pekerja Sanmina-SCI
KUCHING: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sarawak akan memohon injunksi mahkamah untuk menghalang Sanmina-SCI Corporation (M) Sdn Bhd memindahkan aset dan peralatan mereka dari kilangnya di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya di sini.
Setiausaha Agungnya Andrew Lo berkata, pihaknya akan turut mengadakan perbincangan dengan Sanmina-SCI dalam masa terdekat, selain menghantar petisyen yang ditandatangani bekas pekerja yang diberhentikan baru-baru ini.
“MTUC Sarawak akan mengadakan perbincangan dengan pihak Sanmina-SCI untuk cuba menyelesaikan perkara ini secepat mungkin kerana jika mereka sudah berjaya memindahkan peralatan dari kilang tersebut sesi perbincangan tidak berguna lagi,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat kepada bekas pekerja Sanmina-SCI yang berhimpun di Stadium Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini, pagi semalam.
Lo berkata, petisyen yang telah ditandatangani oleh semua pekerja yang terjejas akan dihantar kepada pengurusan korporat syarikat terbabit yang dijangka mendapat maklum balas dalam masa seminggu.
“MTUC Sarawak telah memperolehi maklumat yang cukup untuk membuktikan bahawa lebih 800 pekerja Sanmina-SCI yang diberhentikan baru-baru ini, berhak mendapat faedah pemberhentian lebih baik.
“Syarikat telah gagal untuk meletakkan notis 60 hari sebelum menamatkan ratusan pekerjanya di sini dan sebahagian daripada mereka telah berkhidmat sehingga 16 tahun,” ujarnya.
Pada perhimpunan semalam, lebih 600 bekas pekerja Sanmina-SCI hadir untuk mengisi beberapa borang, selain menandatangani petisyen yang akan dihantar kepada syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu.
Kebanyakan daripada lebih 800 pekerja yang diberhentikan itu hanya menerima faedah pemberhentian iaitu pampa-san serendah RM199.
Lo menjelaskan, syarikat itu juga didapati tidak mematuhi peruntukan tertentu di bawah Ordinan Buruh Sarawak dan melanggar dasar-dasar sumber manusia.
“Kita sendiri sudah me-nyaksikan lebih 800 daripada pekerja ini amat kecewa dan apa yang dilakukan syarikat seolah-olah tidak menghormati mereka.
“Mengikut standard buruh industri bagi pemberhentian, mereka sepatutnya menerima tidak kurang daripada 1.5 bulan gaji sebagai pampasan,” tegasnya.
Dalam pada itu, Lo turut menggesa kerajaan negeri supaya turut membantu pekerja yang pasti menjalani waktu sukar untuk mendapatkan pekerjaan dalam masa singkat.
“Saya juga menyeru kerajaan negeri supaya mengambil sikap amat berhemat dan meneliti pelabur asing sebelum meluluskan pelaburan mereka pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Presiden jawatankuasa bertindak pekerja yang diberhentikan, James Jalai Gayau berkata, mereka seboleh-bolehnya tidak mahu melibatkan perundangan untuk menyelesaikan kemelut itu.
“Kalau boleh, memang kita tidak mahu melibatkan undang-undang cuma apa yang kita mahu adalah syarikat menghormati hak kita sebagai pekerja.
“Kita juga mahu faedah pemberhentian yang sewajarnya diberikan kerana ia adalah hak kami,” katanya.
James yang telah bekerja selama 15 tahun di syarikat itu menjelaskan, 70 peratus daripada pekerja yang diberhentikan menerima pampasan minimum RM199.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!