Naroden sertai delegasi Malaysia ke Ekspo IKS Sedunia di Hong Kong
Utusan Borneo 7 Disember 2012, JumaatHONG KONG: Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden mewakili Ketua Menteri menyertai delegasi Malaysia ke Ekspo Perusahaan Kecil dan Sederhana (IKS) Sedunia di Pusat Konvensyen dan Pameran Hong Kong (HKCEC) baru-baru ini.
RASMI: Ismail Sabri (tengah) merasmikan Pavilion Malaysia bertempat di HKCEC, semalam. Turut kelihatan Naroden (tiga kanan).
Delegasi Malaysia diketuai Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan semalam, hampir 700 pempamer dari seluruh dunia menyertai dua ekspo iaitu Ekspo IKS Sedunia dan Ekspo Tech Inno HKTDC yang berlangsung dari 5 hingga 8 Disember.
Kedua-dua ekspo berkenaan menampilkan produk kesihatan, maklumat pasaran, idea-idea kreatif, sesi jaringan dan peluang perniagaan kepada IKS.
Pelancaran ekspo disempurnakan Ketua Eksekutif Kerajaan SAR Hong Kong CY Leung dan Pengerusi Majlis Pembangunan Perdagangan Hong Kong (HKTDC) Jack So yang menyampaikan ucap-tama pada majlis berkenaan.
Menurut So: “Kehadiran Ketua Eksekutif CY Leung menandakan bahawa kerajaan Hong Kong menekankan kepentingan perusahaan kecil dan sederhana.
“Mereka menyediakan peluang pekerjaan bagi lebih daripada 1.2 juta rakyat di Hong Kong dan lebih 98 peratus unit perniagaan di Hong Kong.”
Bertemakan ‘Mentransformasikan Perniagaan Untuk Esok’ Ekspo IKS Sedunia menarik kira-kira 338 pempamer daripada 35 buah negara dan wilayah sementara Malaysia menghantar kira-kira 39 pempamer francais termasuk Pavilion Malaysia.
Selepas majlis perasmian itu, Ismail Sabri turut merasmikan Pavilion Malaysia.
Naroden turut diiringi Pengarah Unit Usahawan Jabatan Ketua Menteri Kameri Affandi.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!