Merakyatkan khidmat awam
by Patricia Gari.Utusan Borneo 6 Disember 2012, Khamis
TAHNIAH: Taib merakam kenangan bersama wakil Kementerian Kemudahan Awam dan Sarawak Energy Berhad yang memenangi Anugerah ‘Key Focus Activity’ Terbaik 2012 pada sambutan Hari Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak 2012 di Kuching, semalam.Jawatan pegawai sosial mungkin diwujudkan untuk menangani isu sosial, kata KM
KUCHING: Jawatan pegawai sosial di setiap daerah mungkin akan diwujudkan dalam usaha kerajaan merakyatkan perkhidmatan awam di negeri ini.
Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, pegawai sosial itu akan berperanan mengendalikan semua isu sosial rakyat di kawasan luar bandar, khususnya dalam melaksanakan dasar-dasar pembangunan.
Beliau berkata, pegawai sosial itu akan membantu Pegawai Daerah mendekati rakyat luar bandar dalam usaha melaksanakan dasar-dasar serta projek pembangunan.
“Kerajaan negeri merancang untuk meletakkan seorang pe-gawai sosial di setiap daerah. Mereka akan berperanan memberi khidmat nasihat mengenai aspek kebajikan, peluang pekerjaan, perubahan tingkah laku golongan muda dan cara masyarakat setempat menyelesaikan konflik sosial mereka.
“DO (Pegawai Daerah) lebih kepada pelaksanaan projek-projek pembangunan, manakala pegawai sosial lebih kepada usaha mengendalikan isu-isu sosial dalam pelaksanaan dasar-dasar kerajaan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak 2012 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), semalam.
Taib berkata, usaha mewujudkan pegawai sosial adalah perlu kerana proses rundingan dan khidmat nasihat rakyat harus terus diperluaskan agar perkhidmatan awam negeri lebih memahami aspirasi serta kemahuan rakyat.
Sentimen rakyat di peringkat akar umbi, katanya, perlu diambil kira dalam pelaksanaan dasar-dasar pembangunan negeri agar ia menepati aspirasi serta keperluan golongan berkenaan.
“Mana-mana projek pembangunan yang dilaksanakan harus diterima oleh rakyat di peringkat akar umbi.
“Kita dapat melihat sekarang ramai rakyat mengkritik projek pembangunan yang mahu dilaksanakan bukan kerana mereka tidak bersyukur, tetapi mahu ia dilaksanakan dengan cara yang lebih konsisten dan diyakini dapat membantu komuniti luar bandar.
“Mungkin apa yang baik di Kuching tidak sesuai di kawasan lain terutama yang jauh dari bandar seperti Belaga misalnya… Kita semua memahami semua ini,” jelasnya.
Taib berkata, jentera pembangunan di peringkat akar umbi yakni di kawasan luar bandar harus ditambah baik kerana ia merupakan peringkat pentadbiran yang paling dekat dengan rakyat.
Pegawai Daerah, katanya, perlu lebih efisien dan mempunyai komunikasi yang baik dengan komuniti luar bandar dan pemimpin-pemimpin tempatan.
“DO yang efektif harus lebih banyak berkomunikasi dengan rakyat di kawasan masing-masing, duduk di kedai kopi, membaca surat khabar dan mendengar semua khabar angin serta keperluan rakyat… Ini bukan lagi teori tetapi amalan perlu dipraktikkan.
“Seterusnya, melihat keperluan-keperluan tertentu yang memerlukan perhatian khusus. DO adalah orang yang perlu memahami keperluan dan masalah rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.
Sementara itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerima Anugerah Perkhidmatan Kaunter Cemerlang 2012 manakala Anugerah Idea Inovasi Terbaik Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak 2012 dimenangi Mohammed Emir Fadzley Roseley dari Unit Perancangan Negeri.
Anugerah High Performance Team (HPT) Terbaik 2012 pula menjadi milik Jabatan Pertanian Sarawak dan Kementerian Kemudahan Awam dan Sarawak Energy Berhad memenangi Anugerah ‘Key Focus Activity’ Terbaik 2012.
Pada majlis sama, lapan pegawai menerima Anugerah Pegawai Contoh Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak 2012.
Mereka ialah Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Putit Matzen, Pengarah Jabatan Pendaftaran Negeri Sara-wak Datu Abu Bakar Mat, Bangau Uyop (Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak), Augustine Tambi (Jabatan Tanah dan Survei Sarawak), Kueh Jee Moi (Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak), Julian Injaan (Majlis Dearah Limbang), Abdul Halim Abdullah (Pejabat Da-erah Belaga) dan Superinten-den Mohd Firdaus Abdullah @ Vincent Spencer (PDRM).
Terdahulu Ketua Menteri melancarkan Pelan Tindakan SCS (Perkhidmatan Awam Sarawak) 10-20.
Hadir sama Menteri Perumahan merangkap Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Setiausaha Persekutuan Negeri Sarawak Datuk Md Yahaya Basimin dan Ketua Pengarah MAMPU Datuk Mohd Zabidi Zainal.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!