BN Sarawak perlu libatkan lebih ramai penceramah setempat
LANCAR: Ahmad (kiri) melancarkan baju T untuk para penceramah selepas menghadiri taklimat untuk penceramah melibatkan semua parti komponen BN Sarawak di Kuching, semalam. — Gambar Bernama KUCHING (20 Mac 2013-Utusan Borneo): Parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak perlu melibatkan lebih ramai lagi penceramah setempat dalam aktiviti penerangan mereka mengenai program dan dasar parti serta isu semasa, khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan BN Datuk Ahmad Maslan berkata, berdasarkan pemerhatiannya pada Pilihan Raya Negeri Sarawak yang lepas, aktiviti ceramah penerangan agak kurang dijalankan berbanding di Sabah dan Semenanjung.
“Penceramah-penceramah yang ternama tertumpu di kawasan tertentu masing-masing. Mereka tidak dapat pergi ke merata-rata tempat. Lebih-lebih lagi Sarawak adalah negeri yang sangat luas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat untuk penceramah parti komponen BN Sarawak di sini, semalam.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, Biro Publisiti dan Penerangan BN ada menyediakan bahan-bahan untuk ceramah bagi kemudahan mereka.
Selain itu, katanya, biro turut menyediakan penceramah-penceramah untuk menjawab berkenaan isu-isu semasa sama ada secara lisan mahupun melalui media baharu.
Menurutnya, Sarawak merupakan negeri yang ke-12 dalam rangka program taklimat untuk penceramah sebagai antara persediaan biro dalam menghadapi PRU13.
“Tujuan kita adalah untuk menyediakan penceramah-penceramah parti apabila tiba waktunya yang (dijangka) beberapa hari lagi (pengumuman pembubaran Dewan Rakyat bagi membolehkan) Pilihan Raya Umum (diadakan),” katanya. — Bernama
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!