Akhirnya penduduk Sarawak akan tersenyum lebar apabila lebuhraya sepanjang 1076 km siap dibina merentasi bumi Sarawak. Pembangunan ini adalah komitmen kerajaan pusat untuk meningkatkan lagi taraf hidup penduduk di Sarawak yang sentiasa cemburu dengan lebuhraya 4 laluan yang menghubung semenanjung Malaysia.
Majlis pelancaran pembinaan lebuhraya Pan Borneo ini telah dirasmikan oleh YAB Datuk Patinggi Najib Razak di R&R Batu 32 Jalan Bintulu-Miri pagi tadi. Majlis ini disaksikan oleh lebih sepuluh ribu orang yang datang memenuhi dewan majlis sejak pukul 8 pagi lagi.
Keunikan lebuhraya ini adalah ianya tidak akan dikenakan sebarang tol kerana ia merupakan jalan utama dan tiada laluan alternatif untuk merentasi muka bumi Sarawak yang beralun. Projek ini juga memartabatkan 75 buah syarikat perunding yang semuanya terdiri daripada anak jati Sarawak sahaja. Ini juga turut memberikan peluang pekerjaan khususnya kepada anak Sarawak untuk berbakti kepada tanah tumpah darah mereka dalam sektor pembinaan lebuhraya.
Semoga usaha murni kerajaan pusat dan kerajaan negeri ini akan dimanfaatkan oleh semua penduduk Sarawak. Tempoh perjalanan yang lama dari 19 jam akan dikurangkan secara mendadak dengan adanya laluan berkembar dua hala ini kelak.
Pan Borneo: Kerajaan Tekankan Kesan Berganda Terhadap Nilai Pulangan Projek
BINTULU, 31 Mac (Bernama)-- Pembinaan lebuh raya Pan Borneo yang dilaksanakan dengan konsep Kerjasama Awam-Swasta (PPP) dapat meminimumkan risiko di samping memastikan kos pelaksanaannya tidak naik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.Beliau berkata menerusi konsep ini pemaju projek akan menanggung risiko terhadap kemungkinan kos pembinaannya naik atau projek tidak dapat disiapkan mengikut jadual, dan mereka pasti akan memilih perunding yang benar-benar berkemampuan bagi memastikan semuanya berjalan lancar.
Menurutnya apa yang lebih penting adalah kerajaan berusaha sedaya upaya untuk memaksimumkan nilai pulangan kepada projek pembinaan lebuh raya itu, dan memastikan ia bukan saja membawa kesan berganda kepada ekonomi Sarawak, khususnya di setiap bandar yang dilalui oleh lebuh raya itu, malah juga kepada kawasan-kawasan pedalaman di sekitarnya.
"Jadi kita mesti rancang supaya lebih ramai usahawan baharu yang boleh kita lahirkan menerusi lebuh raya ini, mesti tentukan bagaimana hasil pertanian misalnya di kawasan desa, boleh dipasarkan di R&R yang disediakan, menentukan ia mendatangkan hasil yang maksimum," katanya dalam persidangan media selepas melancarkan projek pembinaan lebuh raya Pan Borneo Sarawak di R&R (kawasan rehat dan Rawat) Bakun, Km 52 Jalan Bintulu-Miri di sini Selasa.
Pan Borneo Sarawak merupakan projek kerajaan Persekutuan yang membabitkan laluan sejauh 1,076 km antara Tanjung Datu dan Merapok di sempadan Sarawak/Sabah bernilai lebih RM13 bilion yang dijangka siap sepenuhnya pada 2023.
Majlis hari ini turut menyaksikan Perdana Menteri menyerahkan surat komitmen Dana Pembangunan kepada 75 syarikat kontraktor yang dipilih, yang terdiri daripada kalangan syarikat-syarikat anak tempatan dari Sarawak, yang terbabit dalam pembinaan lebuh raya itu.
Najib berkata apa yang turut ditekankan dalam projek pembinaan lebuh raya itu ialah ia perlu membabitkan kalangan kontraktor, perunding dan juga subkontraktor dari pelbagai kalangan etnik di Sarawak.Beliau berkata selain dari sudut ekonomi dan memendekkan perjalanan, lebuh raya itu juga penting dari aspek keselamatan kerana perjalanan darat terbukti pengangkutan paling selamat, dan laluan dua lorong yang disediakan akan menambahkan lagi keselamatan dan keselesaannya.
Perdana Menteri seterusnya menjangka beliau akan kembali ke Sarawak untuk melancarkan projek pembinaan fasa kedua lebuh raya itu yang membabitkan laluan 40km antara Tanjung Datu dan Sematan pada September ini.
Turut hadir di majlis itu ialah Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, Timbalannya Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan lain-lain barisan menteri, serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri dan persekutuan.
-- BERNAMA
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!