Ketua Menteri mengingatkan ketua masyarakat agar terus menyampaikan hasrat rakyat kepada pemimpin. Mereka juga tidak lupa untuk menerangkan kepada rakyat mengenai perubahan dan transformasi agar rakyat tidak mudah keliru dengan agenda pihak pembangkang. Pihak pembangkang hanya pandai bermadah tetapi aktiviti yang mereka lakukan adalah seperti indah khabar dari rupa.
Ini adalah kerana hanya kerajaan yang mampu menyampaikan kemudahan, perubahan dan transformasi kepada rakyat. Ini semua tidak mungkin dicapai sekiranya rakyat menyokong pembangkang. Oleh itu diharap agar ketua masyarakat semua akan sentiasa menyampaikan maklumat dan memberi penerangan yang sepatutnya kepada rakyat mengenai usaha kerajaan untuk memberi kemudahan kepada rakyat Sarawak terutamanya penduduk di luar bandar.
HEBAH MAKLUMAT TEPAT
Oleh Patricia Gari
Utusan Borneo, Rabu, 25/3/2015
KUCHING: Pemimpin akar umbi harus menjadi ejen penyampai maklumat tepat mengenai pembangunan yang telah dan sedang dilaksanakan kerajaan untuk rakyat.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata ketika ini pembangkang rancak menyusun agenda dan program, terutama di kawasan luar bandar dalam usaha meraih undi.
Menurutnya, pelbagai program dilaksanakan pembangkang hanya indah khabar dari rupa, sedangkan pembangunan yang dikecapi rakyat selama ini adalah usaha kerajaan Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, rakyat terlalu mudah terkeliru dengan apa yang dilakukan pembangkang kerana ia sering digembar-gemburkan, walhal impaknya kepada kehidupan rakyat tidak seberapa.
Kerajaan, katanya, selama ini berusaha keras membawa pembangunan kepada rakyat termasuk kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air.
“Di sinilah peranan ketua masyarakat. Memaklumkan usaha dan apa yang dilaksanakan kerajaan untuk rakyat selama ini kepada akar umbi. Saya seorang tidak boleh memaklumkannya kepada rakyat.
“Jangan takut untuk memaklumkan perkara yang benar kepada rakyat. Ketua masyarakat dan ketua kaum harus komited melaksanakan tugas mereka. Jangan sampai rakyat terkeliru dengan apa yang dilakukan pembangkang,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Kepimpinan Akar Umbi Negeri Sarawak 2015 di sini, semalam.
Adenan berkata, beberapa perubahan dan transformasi telah dilakukan sepanjang setahun beliau menjadi Ketua Menteri, namun ia tidak akan diketahui jika pemimpin akar umbi iaitu ketua masyarakat, ketua kaum dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) tidak memaklumkannya kepada rakyat.
Menurut beliau, banyak lagi yang dirancang untuk dilaksanakan tetapi bagi memastikan ia dapat direalisasikan, beliau memerlukan sokongan serta mandat daripada semua pihak.
“Berikan saya peluang dan masa lima tahun lagi untuk membawa perubahan dan pembangunan kepada rakyat khususnya di kawasan luar bandar.
“Kalau kita cintakan negeri Sarawak, kita tahu apa yang patut kita buat supaya negeri ini selamat berjaya dan maju pada masa akan datang,” ujarnya.
Mengenai seminar itu, Adenan berkata ia dianjurkan bersama oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar Sarawak melibatkan 685 peserta terdiri daripada ketua masyarakat dan ketua kaum dari bahagian Kuching.
“Tujuan seminar ini ialah untuk meningkatkan perkhidmatan ketua masyarakat dan ketua kaum kepada rakyat agar ia lebih berkesan berbanding sebelum ini.
“Jangan kelak selepas ini, apa yang diperoleh daripada seminar ini tidak dikongsi dengan rakyat diwakili,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani dalam ucapan aluannya berkata, 10 lagi seminar sama akan menyusul melibatkan pemimpin akar umbi di 10 bahagian di negeri ini.
Pada seminar semalam, katany,a beberapa topik penting dibincangkan antaranya penyediaan profil kampung, ceramah ‘Kepimpinan Akar Umbi Teras Pembangunan Negara,’ ‘Peranan Pemimpin Akar Umbi dalam konteks Jabatan Imigresen Malaysia’ dan ceramah ‘Pembangunan Negeri Sarawak.’
Menurut Morshidi, ketika ini terdapat 565 ketua masyarakat di seluruh Sarawak, iaitu 37 temenggung, 78 pemanca dan 450 penghulu manakala ketua kaum seramai 5,456 terdiri daripada ketua kampung, tuai rumah dan kapitan (Cina dan India).
“Bagaimanapun, ada ketua kaum yang baharu dan belum didaftar. Oleh itu kerajaan negeri berharap KKLW boleh mempertimbangkan penambahan 531 ketua kaum sesuai dengan penambahan penduduk dan kawasan penempatan di Sarawak,” ujar Morshidi.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!