Rakyat Sarawak Tidak Lagi Terlalu Bergantung Kepada Pemimpin, Lebih Kepada Kerjasama - Taib
KUCHING, 2 April (Bernama) -- Rakyat Sarawak kini sudah berubah dengan tidak lagi terlalu bergantung kepada pemimpin dan masyarakat, sebaliknya lebih kepada bekerjasama dengan jentera kerajaan untuk melihat kemajuan dicapai, kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Beliau berkata masa depan rakyat di negeri ini sebenarnya lebih banyak bergantung kepada keupayaan rakyat bekerjasama dengan kerajaan kerana projek pembangunan yang mahu dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) semakin besar dan sukar.
"Projek pembangunan ini memerlukan kerjasama dan pemahaman rakyat agar mereka tahu ia benar-benar menguntungkan rakyat. Dulu bila kerajaan nak ambil tanah (untuk dibangunkan), orang tak nak... takut rugi.
"Di kalangan pemilik tanah NCR (tanah hak adat), banyak propaganda mengatakan kerajaan akan rampas tanah. Pembangkang hasut rakyat dengan macam-macam cara. Kita terpaksa beri penjelasan," katanya ketika merasmikan Program Sejiwa Senada Kerajaan Bersama Rakyat Peringkat Bandaraya Kuching Utara di Perkarangan Sukma Ria, Petra Jaya dekat sini Sabtu.
Katanya kini rakyat telah sedar, tanah jika tidak dibangunkan harganya tidak akan naik dan tanah di luar bandar perlukan pembangunan sistematik untuk rakyat mendapat keuntungan.
"Kita wujudkan Estet Pribumi, kini ramai yang nak masuk dan minta ia dibesarkan lagi. Tanah-tanah adat yang dimasukkan dalam skim estet terbukti berkesan dan rakyat mahu skim ini dikembangkan. Sistem ini kita dapat jadikan bank tanah.
"Hasilnya harga tanah NCR dah naik. Sudah banyak permintaan untuk tanah ini dibangunkan sehingga harga tanah melambung tinggi. Ini menukar corak hidup rakyat di luar bandar. Segala hasutan tidak akan mendapat sokongan rakyat. Orang yang hasut akan kalah pilihan raya," katanya.
Taib berkata rakyat yang dahulunya marah dengan kerajaan telah dapat menerima kerana kini mereka tahu ia menguntungkan mereka dan mengubah nasib rakyat.
"Kita berterima kasih kepada kerajaan Pusat. Felda, Felcra dan Risda kita bawa untuk majukan tanah bumiputera yang terbiar beratus tahun dan mereka hidup dalam kemiskinan. Inilah cara kita melihat jauh ke hadapan. Kepentingan rakyat didahulukan," katanya.
Sementara itu, Taib berkata kerajaan telah memudahkan urusan rakyat dengan banyak perkara boleh dilakukan secara dalam talian tetapi kemudahan yang ada banyak disalahgunakan.
"Komunikasi dalam talian sebab nak tolong rakyat. Kerajaan mahu rakyat lebih maju. Tetapi ada yang gunakan rangkaian sosial untuk menggulingkan kerajaan seperti di Mesir, Libya, Yaman. Kita sudah ada demokrasi yang matang.
"Masa hadapan rakyat bukan bergantung kepada propaganda... kerajaan nak beri itu ini. Itu rakyat tak minta pun kita rancang. Kita mahu jadi ekonomi berpendapatan tinggi.
Beliau berkata BN tidak menolak pembangkang, sebaliknya menerima kehadiran mereka jika sanggup bekerjasama demi kebaikan rakyat.
"Kalau mereka (pembangkang) nak dapat lebih daripada rakyat, kita tidak boleh terima. Jangan ada hasutan, propaganda yang cuba rosakkan hubungan rakyat dengan kerajaan," kata Taib.
-- BERNAMA
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!