KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri seharusnya mengemukakan bukti dan berhadapan terus dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bukannya melemparkan tuduhan membuta tuli menerusi media.
Sambil menyelar tindakan parti pembangkang itu, Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BN) Abdul Karim Rahman Hamzah memberitahu tindakan tersebut jelas mencerminkan DAP tidak ikhlas untuk memperbetulkan sesuatu perkara tetapi demi meraih publisiti semata-mata.
“Tindakan anda (DAP) yang merungut kepada pihak media dan bukannya kepada SPR menunjukkan anda mahu mempolitikkan isu itu serta mempersoalkan integriti pertubuhan bebas seperti SPR.
“Kalau DAP Negeri fikir SPR memanipulasi senarai pengundi dengan meletakkan pengundi ‘hantu’, bagaimana DAP mampu memenangi banyak kerusi pada pilihan raya (negeri) lalu?,” katanya kepada Utusan Borneo, semalam.
Abdul Karim yang juga Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri memberitahu, tidak semua nama pengundi berada dalam senarai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Menjadikan anggota keselamatan sebagai contoh, katanya, polis dan tentera tidak berada dalam pangkalan data JPN kerana memiliki kad pengenalan diri yang berbeza daripada rakyat biasa.
Lagipun, katanya susunan senarai pengundi juga dilakukan secara manual dan ia tertakluk kepada kesilapan yang tidak diingini.
“Anda perlu tahu bahawa SPR merupakan sebuah pertubuhan bebas dan bukan di bawah BN atau pentadbir negeri (government of the day),” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung BN Negeri Datuk Dr Stephen Rundi turut sependapat dengan Abdul Karim bahawa DAP perlu menyertakan bukti atas dakwaan tersebut serta perlu bersemuka dengan SPR dan JPN.
“Kami dalam BN akan menyiasat lebih lanjut dan akan memutuskan tindakan selanjutnya mengikut undang-undang selepas mengetahui kebenaran,” katanya.
Abdul Karim dan Dr Rundi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi DAP Negeri Wong Ho Leng yang menuduh SPR melanggar undang-undang kerana mendaftarkan pemastautin tetap (PR) sebagai pengundi.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!