Tumpu Usaha Kekalkan Miri Bersama BN, Kata Peter Chin
Katanya kekalahan di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini dalam pilihan raya negeri yang lepas harus dijadikan iktibar untuk mereka berusaha lebih kuat bagi memastikan kawasan Parlimen di sini kekal di bawah BN.
Berucap dalam satu majlis berbuka puasa bersama anggota komponen BN, ketua-ketua masyarakat dan ketua-ketua jabatan kerajaan di sini, beliau berkata tumpuan usaha mereka sekarang adalah ke arah mengukuhkan kembali keyakinan rakyat kepada kemampuan BN untuk membawa pembangunan berterusan di sini.
"Apa-apa projek yang sudah diluluskan oleh kerajaan perlulah disiapkan demi untuk kepentingan rakyat," katanya.
Chin yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berkata keperluan memberi fokus kepada PRU ke-13, menjadi keutamaan memandangkan ia dijangka akan diadakan kurang dari setahun mulai sekarang.
Dalam pilihan raya negeri yang diadakan April lepas, BN yang diwakili Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) tewas di kawasan DUN Piasau dan DUN Pujut, sementara menang tipis di DUN Senadin.
Ketiga-tiga kawasan DUN ini terletak di bawah kawasan Parlimen Miri.
Bagi DUN Piasau, calon BN yang juga presiden SUPP, Tan Sri Dr George Chan kalah di tangan calon Parti Tindakan Rakyat (DAP) Ling Sie Kiong, sementara di Pujut, Pengerusi SUPP kawasan itu, Andy Chia kalah kepada calon DAP Fong Pau Teck.
Hanya Datuk Lee Kim Shin yang juga anggota SUPP yang menjadi calon BN di Senadin yang berjaya mengekalkan kerusi beliau dengan menewaskan seorang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Teo Yu Kheng.
Chin yang merupakan Setiausaha Penganjur SUPP menyifatkan kekalahan di Piasau dan Pujut sebagai satu cabaran untuk BN dan tidak seharusnya dilihat sebagai kegagalan parti itu semata-mata. -- BERNAMA
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!