Baru mahu bertanding di Parlimen Limbang
Posted on November 2, 2011, Wednesday
KUCHING: Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Baru Bian semalam mengesahkan beliau mahu bertanding di kerusi Parlimen Limbang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.
Beliau memberitahu hasratnya itu telah pun dimaklumkan kepada pucuk kepimpinan PKR Pusat untuk dipertimbangkan.
“Saya akan bertanding di kerusi Parlimen Limbang Pada PRU-13 nanti jika mendapat persetujuan daripada PKR pusat,” katanya pada sidang media di Pejabat PKR Cawangan Stampin di sini semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan itu memberitahu biarpun belum mendapatkan kata putus daripada pucuk kepimpinan parti untuk bertanding di kawasan Parlimen berkenaan, beliau telah memulakan usaha turun padang bertemu dengan rakyat akar umbi di sana.
PKR Negeri juga katanya telah mula mengambil pekerja-pekerja pilihan rayanya dan menubuhkan pusat operasi parti di Limbang sebagai persediaan menghadapi PRU-13.
“Sama ada permintaan saya direstui oleh kepimpinan pusat atau sebaliknya, itu tidak penting, sekarang PKR perlu membuat persiapan lebih awal dan kami telah banyak belajar daripada pilihan raya negeri April lalu.
“PAS (Parti Islam Se-Malaysia) dan DAP (Parti Tindakan Demokratik) juga berminat terhadap kerusi ini (Limbang). Sebab itu saya menyatakan hasrat saya ini lebih awal,” jelasnya.
Ketika ini Parlimen Limbang milik Barisan Nasional menerusi wakilnya daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Hasbi Habibollah selama sepenggal setelah mengalahkan calon PKR Dr Lau Liak Koi pada PRU-12 (2008).
Mengenai pembahagian kerusi di kalangan parti-parti Pakatan Rakyat di negeri ini, Baru memberitahu, kata sepakat mengenai perkara itu masih belum dicapai.
Beliau menambah status pembahagian kerusi masih kekal, bagaimanapun beliau enggan mengulas lebih lanjut lebih-lebih lagi mengenai tuntutan bertindih terhadap beberapa kerusi dengan alasan ia rahsia parti.
“PKR telah menggerakkan jentera parti di kawasan-kawasan yang dipersetujui milik PKR sebagai persiapan awal kami menghadapi pilihan raya,” tambahnya.
Beliau juga memberitahu bahawa PKR Negeri telah mengusulkan kira-kira 13 kerusi Parlimen yang akan diletakkan calonya pada PRU-13 nanti.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!