Pemilihan SUPP Terus Dibayangi Politik Persukuan
Oleh Alan Ting
KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Dengan bermulanya pemilihan di peringkat cawangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), parti tertua dan komponen terbesar dalam Barisan Nasional negeri, Ahad depan, ia dikatakan banyak dipengaruhi isu-isu persukuan, soal kedaerahan dan penguasaan kumpulan.
Seorang penganalisis politik James Chin daripada Monash Sunway University, yang banyak menulis tentang SUPP, menerangkan bahawa bagi dekad pertama penubuhan parti itu ia diterajui pemimpin-pemimpin dari kawasan Kuching dan kuasa tertumpu di tangan kumpulan kecil dialek Hakka, Chao-ann dan Hokkien.
Bagaimanapun, katanya, ini telah menimbulkan kemarahan penyokong SUPP di Sibu yang kebanyakannya daripada kumpulan dialek Foochow.
"Sejak akhir 1970an, kuasa dalam parti dibahagikan agak sama rata antara kumpulan kawasan dan dialek menerusi pengaruh utama golongan Foochow Sibu terutama sekali di bawah (Tan Sri) Wong Soon Kai semasa beliau menjadi Setiausaha Agung pada 1982," katanya kepada Bernama.
Menurut Chin, meluasnya pengaruh Foochow dalam SUPP sangat berkait rapat dengan semangat keusahawanan Foochow yang membolehkan mereka bergerak melewati Sibu ke Kuching, Miri dan Bintulu dan menjadi kumpulan dialek paling berpengaruh terutama sekali terlibat di bidang pendidikan, perniagaan kecil, industri pembalakan dan juga politik.
"Ini bererti struktur kuasa dalam SUPP terpaksa berubah bagi memberi ruang kepada kumpulan ini.
Chin menjelaskan sikap kedaerahan dan bersuku serta pemisahan mengikut dialek sebenarnya sudah diakui wujud semasa Wong menjadi presiden parti (1990-1996) sehinggakan Wong sendiri menganggapnya sebagai 'kumpulan berpuak yang tidak dikehendaki dalam sebuah parti.'
"Keadaan ini tidak mungkin dapat diselesaikan dalam masa terdekat. Sikap kedaerahan ini adalah satu fenomena semulajadi manakala pelbagai kumpulan dialek sangat bersikap bersuku yang sukar dihapuskan kerana isu ini digunakan juga untuk meraih sokongan.
"Kepimpinan parti pula melihatnya sebagai kejadian semulajadi yang tidak boleh diatasi tetapi boleh dibendung," katanya.
Pemerhati politik percaya inilah sebenarnya yang terjadi di lima cawangan SUPP di Miri, di mana lebih 50 peratus daripada anggotanya adalah Foochow yang asalnya datang dari Sibu, sesetengahnya dilaporkan ingin memegang jawatan tinggi di cawangan.
Ketika dihubungi tidak seorang pun pemimpin SUPP dari Miri bersedia membincangkan perkara ini, kecuali berkata anggota-anggota parti hendaklah melihat gambaran yang lebih luas apabila menyentuh soal memilih pemimpin.
"Saya percaya anggota-anggota parti boleh lihat bahawa parti adalah milik semua. Inilah yang kita selalu tekankan selama ini," kata pengerusi cawangan Pujut, Andy Chia.
Mengikut sejarah parti, hanya Tan Sri Wong Soon Kai, seorang Foochow sahaja dari Sibu yang berjaya menjadi presiden parti.
Beliau mengundurkan diri selepas tewas dalam pilihan raya negeri tahun 1996 dan digantikan oleh Tan Sri Dr George Chan yang berasal dari Miri.
Presiden yang lain ialah Tan Sri Ong Kee Hui dan Tan Sri Stephen Yong Kuet Sze, kedua-duanya dari Kuching.
Orang dalaman parti percaya dalam pemilihan parti bulan Dis nanti, isu mengenai sokongan bersandarkan kepada suku ini akan ditimbulkan kembali oleh antara setiausaha penganjur Datuk Peter Chin dan Datuk Seri Wong Soon Koh.
"Sentimen yang sama akan dimainkan sekali lagi," kata mereka dan menambah bahawa anggota-anggota dari Kuching yang kuat dikuasai Hokkien dan Hakka memberi sokongan kepada kumpulan dari Miri.
Tetapi pemimpin parti dari Sibu dan Kuching tidak memainkan isu sedemikian dengan berkata ia bukan merupakan faktor utama untuk anggota parti.
Ketua Penerangan SUPP Sibu, Daniel Ngieng berkata memang ada orang yang sentiasa mahu membangkitkan isu ini tetapi beliau percaya anggota parti sudah matang dan tidak mudah dipengaruhi sentimen yang sedemikian.
"Sesetengah orang suka memainkan isu-isu seperti ini. Ini sesuatu yang tidak sihat, kerana parti sentiasa menjadi kebajikan semua orang, tanpa mengira kaum dan dialek.
"Kita berlawan atas prinsip," katranya sambil menambah bahawa anggota parti tidak sepatutnya terperangkap dalm isu sedemikian.
Pengerusi cawangan Kuching Datuk Lily Yong pula berpendapat isu tersebut tidak lagi penting bagi anggota parti tetapi mengakui ada sedikit fahaman kedaerahan dalam pemilihan pemimpin nanti.
"Ia sesuatu yang dapat diterima asalkan mereka menyokong satu sama lain. Sudah tentu, setengah orang mahu memainkannya dan biasanya mereka lakukannya dengan cara yang halus," katanya.
-- BERNAMA
1 ulasan:
perlu ada persefahaman...
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!