Nikotin percuma
KUALA LUMPUR: Peningkatan jumlah perokok dan penghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) akibat tabiat itu menyebabkan semalam Kementerian Kesihatan mengumumkan langkah pemberian nikotin percuma kepada mereka yang mahu berhenti merokok.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pemberian nikotin percuma melalui program berhenti merokok itu akan membabitkan lebih 800 klinik kesihatan dan 135 hospital kerajaan.
Langkah itu bertujuan mengekang pertambahan perokok yang kini mencecah 20 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia atau kira-kira 5.6 juta orang, selain menangani masalah rokok seludup yang kini 40 peratus di pasaran.
Katanya, pemberian nikotin percuma itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan memerangi tabiat merokok menerusi kempen antirokok yang sedang digariskan kementerian. Usaha itu juga menggabungkan kaedah kaunseling bagi memastikan individu tidak kembali merokok.
“Saya sudah arahkan Ketua Pengarah Kesihatan (Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman) supaya apabila pesakit yang merokok datang ke hospital dan klinik kerajaan, galakkan mereka menjalani program kurangkan ketagihan rokok itu.
“Program ini percuma untuk semua perokok dan kita harap mereka ambil peluang ini. Usaha ini untuk kurangkan NCD selain membantu mereka mengurangkan ketagihan merokok, seterusnya berhenti,” katanya selepas merasmikan karnival kesihatan Parlimen Gombak di K Club, Taman Melawati di sini semalam.
Beliau berkata, langkah itu juga bertujuan menangani peningkatan trend NCD seperti darah tinggi dan kardiovaskular akibat tabiat itu.
Perokok yang berminat perlu mendaftar untuk mengikuti program terbabit sebelum diberikan nikotin gantian dalam bentuk ubat/pil selain mengikuti kursus kaunseling sehingga mereka bebas daripada tabiat merokok sepenuhnya.
Kebiasaannya, melalui program terapi nikotin gantian, perokok akan diberikan nikotin gantian untuk tempoh tiga bulan sebelum dos nikotin itu dikurangkan hingga pesakit mempunyai kekuatan menahan ketagihannya.
Kerajaan sebelum ini menggalakkan perokok menyertai program kaunseling berhenti merokok membabitkan beberapa klinik kesihatan terpilih.
Program rawatan farmakologikal yang memerlukan perokok mengeluarkan wang sendiri untuk mendapatkan ‘nikotin gantian’ dalam bentuk ubat/pil, gam nikotin, pelekat, semburan atau sedutan itu, tidak mendapat sambutan.
Ditanya mengenai pelaksanaan skim penjagaan kesihatan 1Care seperti dilaporkan media baru-baru ini, beliau berkata ‘blueprint’ skim itu masih di peringkat jawatankuasa kementerian dan dijangka siap penghujung 2013. BH
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!