PCM Sarawak tidak akan bertanding pada PRU13: Adit
Posted on March 30, 2012, Friday
KOTA SAMARAHAN: Parti Cinta Malaysia (PCM) Sarawak tidak akan bertanding di mana-mana 31 kerusi Parlimen negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ekoran daripada kekurangan dana.
Pengerusinya Gabriel Adit Demong berkata, PCM Sarawak memilih untuk tidak menyertai PRU memandangkan kosnya lebih tinggi berbanding pilihan raya negeri.
“Kami perlu ingat pilihan raya Parlimen terlalu tinggi kosnya melainkan kami mempunyai dana dan untuk itu, jadi saya merasakan adalah lebih baik tidak bertan-ding.
“Secara peribadi, saya tidak akan bertanding pada PRU13 namun jika ada mana-mana ahli parti yang mahu bertanding secara individu ia terpulang kepada mereka. Kami tidak akan menghalang mereka,” katanya.
Adit yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Ngemah berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran buku biografi Dato Sri Edmund Langgu di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini, semalam.
“Kami memilih untuk tidak memikirkan pilihan raya Parlimen tetapi jika pilihan raya negeri barulah kami berusaha sedaya upaya,” ujarnya.
Adit individu yang tidak asing kepada politik Sarawak, pernah memenangi kerusi DUN Ngemah dalam pilihan raya negeri 1991 di bawah tiket Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), seterusnya pada 1996 dan 2001.
Pada 2006 beliau bertanding sebagai calon Bebas dan berjaya mempertahankan kerusinya bagi penggal keempat berturut-turut selepas menewaskan dua calon iaitu Alexander Vincent daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS) sebagai calon BN dan Richard Lias daripada Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP).
Bagaimanapun pada pilihan raya 2011, Adit gagal mempertahankan kerusi Ngemah pada penggal kelima apabila beliau tewas dalam pertandingan lima penjuru.
Dengan kekalahan itu, BN berjaya merampas semula kerusi DUN Ngemah melalui calonnya Alexander Vincent.
1 ulasan:
Harap-harap jangan tiba-tiba ada "penaja" yang budiman di saat-saat akhir ataupun mengguna alasan "mereka di akar umbi banyak memberi sokongan agar saya bertanding" (tapi nanti hilang wang cengkeram)..betul sik bro? :)
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!