Kerajaan tidak pernah ambil tanah sewenang-wenangnya, kata Taib
Posted on July 12, 2012, Thursday
LUNDU: Kerajaan tidak pernah mengambil tanah sewenang-wenangnya untuk tujuan pembangunan daripada rakyat kerana tanah yang belum diwartakan adalah milik kerajaan, tegas Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Menurut beliau kerajaan telah melakukan banyak pembangunan tanah, bagaimanapun malangnya ada pihak-pihak tertentu cuba memberi fahaman serong kepada rakyat.
“Ini supaya rakyat menentang pembangunan tanah dan mereka takut kerajaan akan merampas tanah mereka.
“Sebenarnya apa guna kerajaan merampas tanah rakyat sedangkan semua tanah yang belum diberikan kepada rakyat di negeri adalah kepunyaan kerajaan dan saya hampir setiap bulan menyaksikan banyak tanah kita dapat bangunkan,” katanya.
Menurut Taib, kerajaan akan memberi tanah berkenaan kepada pihak yang mampu membangunkannya hingga ada yang kini menjadi satu estet.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-135 Pejabat Daerah Lundu yang dihadiri Menteri Tugas-tugas Khas merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Datu Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem di sini, semalam.
Taib berkata, rakyat seharusnya menyokong tindakan yang diambil oleh kerajaan sama ada melalui Pejabat Daerah ataupun agensi-agensi berkaitan dalam usaha membangunkan kawasan mereka.
Beliau menjelaskan, untuk mencapai pembangunan di satu-satu kawasan itu ia memerlukan sokongan kuat daripada rakyat ke atas tindakan yang diambil kerajaan termasuk melalui pejabat daerah serta agensi berkaitan.
“Kerjasama antara rakyat dengan pihak pentadbiran menjadi asas untuk membangunkan negeri ini pada masa akan datang.
“Kerajaan semakin hari semakin memerlukan sokongan kuat daripada rakyat yang bukan sahaja untuk kepentingan kerajaan tetapi untuk kepentingan kawasan yang dibangunkan, yang mampu mengubah rakyat sendiri,” tegasnya.
Selain itu pemimpin termasuk pentadbir harus mengenal pasti hasrat dan bentuk pembangunan yang dimahukan rakyat bagi memenuhi aspirasi dan kehendak mereka yang semakin tinggi jangkaannya.
Beliau menambah kini dalam konsep pembangunan yang dimahukan rakyat ia tidak sama seperti dahulu kerana ia bukan lagi status quo tetapi pembangunan pentadbiran.
Sehubungan itu kata beliau, pihak pentadbiran perlu menterjemahkan keinginan aspirasi itu dengan menjadikan ia menjadi program pentadbiran.
“Pada masa akan datang kita akan memisahkan tugas di peringkat daerah kepada dua bentuk iaitu pembangunan fizikal serta ekonomi dan pembangunan majlis serta sosial, “ kata beliau.
Berhubung Sambutan Ulang Tahun Ke-135 Pejabat Daerah Lundu beliau menjelaskan, Lundu mempunyai peranan paling awal sekali dalam sejarah negeri Sarawak, dengan tertubuhnya Pejabat Daerah itu sejak 1877 iaitu pada zaman Rajah Brooke.
“Bagaimanapun kini dalam keadaan pentadbiran yang banyak berubah, kita telah berjaya mengubah corak kawasan Lundu dan Bau ke arah yang lebih baik dan ia mendapat kerjasama daripada pemimpin Bidayuh,” ujar beliau.
Hadir sama isteri Taib Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani, Ahli Parlimen Santubong Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Pegawai Daerah Lundu Azmi Bujang, isteri Adenan Puan Sri Datuk Jamilah Anu serta menteri-menteri kabinet lain.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!