Sarawak guna model sederhana
by Patricia Gari. Posted on July 11, 2012, Wednesday
KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, Sarawak akan mengguna pakai model pembangunan bandar bersaiz sederhana dalam membangunkan bandar-bandar di negeri ini.
Beliau berkata, dengan model itu, Sarawak dapat memelihara alam sekitar dan kawasan hijau dalam bandar agar ia dapat diwarisi oleh generasi muda dan pada masa sama, menikmati kemakmuran serta kualiti hidup yang lebih baik.
Menurutnya, bandar bersaiz sederhana mempermudahkan pelaksanaan program-program pembangunan kerajaan dan memastikan negeri ini tidak menghadapi implikasi negatif kesan daripada proses urbanisasi pesat sehingga menyebabkan kos sara hidup tinggi.
“Sarawak mempunyai model pembangunan yang berbeza (berbanding negeri lain). Kita tidak terdorong untuk membina banyak bandar besar. Hakikatnya model pembangunan untuk Sarawak ialah untuk mempunyai banyak bandar bersaiz sederhana di sekitar lingkungan bandar besar seperti bandar raya Kuching.
“Mempunyai saiz bandar yang bersaiz sederhana seperti di New Zealand dan negara-negara Scandinavia merupakan model terbaik untuk Sarawak dan kita cuba membangunkannya (bandar) mengikut model ini,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Kejuruteraan (EnCon) Kelima 2012 di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Persidangan dengan tema ‘Kejuruteraan Ke Arah Perubahan – Memperkasakan Teknologi Hijau sebagai Penyelesaian’ dianjurkan oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Institut Kejuruteraan Malaysia (IEM) Cawangan Sarawak.
Ketua Menteri berkata, Malaysia berusaha keras untuk memperbaiki rekod alam sekitarnya seiring dengan usaha mencapai kejayaan membanggakan dalam pembangunan ekonomi.
Sehingga ke hari ini, jelasnya, negara boleh dikatakan menjaya menyeimbangkan pembangunan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar menerusi pengenalan penggunaan teknologi hijau.
Bagi Sarawak pula, katanya, hari ini negeri berada di kedudukan keempat dari aspek pembangunan dan berjaya mencapai pembangunan yang sangat baik serta melindungi alam sekitarnya.
“Memandangkan Sarawak sedang melalui fasa kedua pembangunannya, pembangunan mapan mesti ditekankan dan dengan itu, alam sekitar bersih serta selamat dinikmati generasi sekarang sebelum diwariskan kepada generasi seterusnya,” jelas beliau.
Mengenai persidangan yang berlangsung selama tiga hari itu (10 hingga 12 Julai), Taib berkata, ia menyediakan ruang dan peluang kepada peserta terdiri daripada golongan profesional serta akademia berkongsi kepakaran dan pengalaman masing-masing.
Selain itu, katanya, peserta boleh menyebarkan penemuan terbaharu dalam dunia kejuruteraan seterusnya menggandakan usaha bagi memastikan pembangunan pada masa hadapan menggunakan teknologi hijau.
“Semua ini sangat penting untuk menangani masalah alam sekitar, mencari jalan menjimatkan tenaga dan cuba meminimumkan pembuangan sisa pelupusan dalam masyarakat. Perkara-perkara ini perlu dikendalikan dengan mengambil kira teknologi-teknologi bangunan hijau,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar persidangan akan datang memfokus kepada masalah pembangunan dari aspek kejuruteraan tanah lembut atau gambut di Sarawak kerana ia dilihat antara halangan pembangunan infrastruktur dilaksanakan di negeri ini.
Sarawak, katanya, mempunyai kawasan tanah gambut yang luas iaitu kira-kira dua juta hektar dan sukar dibangunkan kerana keadaan struktur tanah tersebut.
“Disebabkan masalah ini, kita terpaksa membangunkan bandar sedia ada… Kita perlu memfokus kepada masalah kejuruteraan tanah gambut pada masa akan datang,” katanya.
Hadir sama, Naib Canselor UNIMAS Datuk Dr Khairuddin Ab Hamid, Timbalan Naib Canselor UNIMAS (Penyelidikan dan Inovasi) Dr Peter Songan, Dekan Fakulti Kejuruteraan UNIMAS Prof Dr Wan Hashim Wan Ibrahim, Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Bidaan (CIDB) Malaysia Datuk Ir Hamzah Hasan dan Pengerusi EnCon 2012 Dr Delsye Teo Ching Lee.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!