Rakyat diajak terus sokong Barisan Nasional
by Kelvin Lambai. Posted on July 11, 2012, Wednesday
KABONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor mengajak rakyat di DUN Beting Maro khususnya agar terus menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk kesinambungan pembangunan di kawasan berkenaan.
TURUN PADANG: Razaili membonceng motosikal salah seorang penduduk kampung untuk balik ke jeti Kampung Batang Maro kelmarin
Menjelangnya Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang akan diadakan pada bila-bila masa, beliau berharap rakyat di kawasan Beting Maro tidak berpaling tadah sebaliknya terus menyokong kerajaan BN.
“Untuk menikmati pembangunan berterusan di kawasan ini, saya selaku wakil rakyat di kawasan ini amat mengharapkan kerjasama erat daripada rakyat agar Parlimen Batang Lupar terus menjadi milik BN.
“Seruan saya kepada rakyat di Beting Maro, kita harus mengekalkan kecemerlangan BN di kawasan Beting Maro dan untuk kawasan Parlimen Batang Lupar amnya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Jerry Can (alat penurasan air) oleh Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada 90 keluarga di Kampung Batang Maro di Masjid Kampung Batang Maro kelmarin.
Terdahulu, majlis berkenaan disempurnakan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Rohani Abdul Karim.
Katanya kecemerlangan BN di Parlimen Batang Lupar terbukti dengan pelbagai pembangunan bukan sahaja di DUN Beting Maro malah di DUN Sebuyau dan Lingga.
“Dan tidak salah sekiranya, prestasi kecemerlangan BN di Batang Lupar ini terus dikekalkan semasa PRU13 nanti,” jelasnya.
Razaili turut mengambil contoh bahawa pelbagai pembangunan telah dinikmati oleh penduduk di Kampung Batang Maro termasuk jalan raya berturap dari jeti menuju ke kampung serta sebuah dewan serba guna turut terbina di kampung itu.
“Kerajaan turut mempunyai pelbagai lagi perancangan untuk membangunkan hasil pertanian penduduk kampung ini termasuk kerajaan mempunyai satu perancangan yang besar untuk menghubungkan penduduk kampung ini dengan pekan Kabong,” katanya.
“Justeru, sokongan terhadap kerajaan BN amat diperlukan bagi meneruskan lebih banyak pembangunan ke kawasan ini,” ujarnya.
Turut hadir Pegawai Tadbir Sarawak Daerah Kecil Kabong Nazari Bujang, Ketua Program 1MDB Shamsul Azhar Ali dan Ketua Kampung Batang Maro Amin Sujang.
Pada majlis yang sama, Razaili turut mengumumkan peruntukkan berjumlah RM3,000 kepada Jawatankuasa Masjid Kampung Batang Maro untuk kegunaan menjalankan aktiviti sepanjang bulan Ramadan akan datang.
Dalam pada itu Razaili turut menyampaikan alat pembesar suara kepada jawatankuasa masjid berkenaan.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!