Bintulu semalam telah diisytihar bebas daripada wabak kolera. Penduduk Bintulu akan dapat menikmati KFC dan SCR lagi yang telah ditutup gara-gara wabak kolera.
Semoga orang ramai juga sentiasa menjaga kebersihan dan memasak air sebelum minum. Sesungguhnya wabak kolera akan membiak di tempat yang kotor? Ini merupakan dugaan buat orang Islam yang berpuasa di Bintulu!
Bintulu bebas wabak kolera
by Ambrose Rirang. Utusan Borneo 14 Ogos 2012, Selasa
BINTULU: Usaha dan langkah proaktif Jabatan Kesihatan Bintulu dengan kerja-sama jabatan serta agensi berkaitan sejak 14 Julai lepas dalam membendung penularan wabak kolera membawa berita gembira buat masyarakat di sini apabila Bintulu diisytiharkan bebas wabak itu, semalam.
“Ingin saya maklumkan di sini bahawa wabak kolera yang melanda Bintulu pada 14 Julai lalu diisytiharkan berakhir pada hari ini (semalam),” ujar Timbalan Residen (Sosial) Richard Michael Abu Nawas pada sidang media di Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu di sini, pagi semalam.
Walaupun demikian, katanya, semua itu tidak bermakna warga Bintulu bebas sepenuhnya daripada jangkitan vibrio cholera kerana ia merupakan wabak yang senang merebak seterusnya menjangkiti manusia di persekitaran kotor serta mereka yang memakan maka-nan tercemar.
“Justeru, ingin saya ingatkan masyarakat awam di sini agar sentiasa mengutamakan aspek kebersihan serta kesihatan khasnya di tempat tinggal serta dalam penyediaan makanan seharian bagi mengelak wabak ini daripada menular serta memudaratkan kesihatan,” katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan wabak kolera boleh kembali melanda Bintulu pada masa hadapan kerana kuman vibrio cholera amat mudah hidup di persekitaran kotor serta makanan tercemar.
“Atas sebab itulah saya nasihati masyarakat awam di sini agar sentiasa mengutamakan aspek kebersihan serta segera mendapatkan rawatan di klinik-klinik serta hospital berdekatan sekiranya mendapat simptom-simptom dijangkiti kolera bagi membolehkan langkah segera diambil dalam membendung penularannya,” katanya.
Pada masa sama, Richard melahirkan rasa lega kerana Jabatan Kesihatan Bintulu dengan bantuan jabatan serta agensi berkaitan berjaya mencapai sasaran mereka untuk membendung penularan wabak itu sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Sempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, saya mewakili Jabatan Kesihatan menasihati seluruh masyarakat di sini terutama umat Islam agar sentiasa mengutamakan aspek kebersihan dalam penyediaan makanan, kuih-muih serta juadah yang lain bagi memastikannya selamat untuk dimakan sama ada sesama keluarga atau sahabat handai yang datang berkunjung,” tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Richard berkata, ketiga-tiga bazar Ramadan yang ditutup selama tiga hari dari 10 hingga 12 Ogos lalu telah dibuka seperti biasa sejak semalam memandangkan Bintulu bebas daripada wabak berkenaan.
Setakat 12 Ogos, sebanyak 1,151 kes telah dinotifikasi kepada Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu yang mana hanya 110 telah didapati positif kuman kolera, manakala 50 pesakit mempunyai tanda-tanda jangkitan.
Enam puluh pesakit lagi tanpa tanda-tanda jangkitan yang mana pesakit terakhir didapati positif menunjukkan permulaan jangkitan (onset) pada 2 Ogos lalu.
Sehubungan itu, Richard berkata, pihaknya bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan perancangan masa panjang berkaitan isu kesihatan serta kebersihan di tempat-tempat awam sekitar Bintulu.
Ini kerana, katanya, Bintulu adalah lokasi penganjuran acara berprestij serta bertaraf antarabangsa, antaranya Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo 2012 pada bulan September nanti.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!