SPRM tiada kuasa tapis calon PRU13
by Mahathir Haroun. Utusan Borneo 27 Disember 2012, Khamis
Tiada dalam perlembagaan, SPRM tidak berupaya kuatkuasakannya, orang yang dituduh juga tidak boleh dihalang untuk menjadi calon
KUCHING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mempunyai kuasa mewajibkan setiap calon Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) menjalani proses tapisan.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perkara tersebut tiada dalam perlembagaan dan SPRM tidak berupaya untuk menguatkuasakannya.
Malah menurutnya, orang yang dituduh juga tidak boleh dihalang untuk menjadi calon.
“Apa sahaja tujuan yang tersirat supaya calon PRU13 ditapis SPRM adalah amat baik tetapi adakah agensi ini mempunyai asas undang-undang untuk menghalang seseorang itu menjadi calon.
“Tapisan untuk calon parti kerajaan mungkin boleh dibuat dengan kerjasama Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak namun saya kurang yakin calon pembangkang atau bebas mahu memberi kerjasama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan agar kerajaan mewajibkan parti-parti politik mengemukakan senarai calon PRU13 untuk proses tapisan SPRM.
Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM Datuk Johan Jaafar dipetik sebagai berkata, cadangan itu antara yang dirangka pihaknya untuk dicadangkan berkuat kuasa menjelang PRU13 tidak lama lagi.
Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong menjelaskan, seseorang calon tidak layak bertanding hanya ditentukan di bawah perlembagaan.
“Kalau ini berlaku (tidak layak), ia bukan kerja SPRM tetapi pegawai pilihan raya,” ujarnya.
Menurutnya, adalah mustahil bagi setiap parti politik untuk mengetepikan calon boleh menang hanya disebabkan alasan tidak sahih.
“Tidak ada parti mahu mengalah atau menghalang ‘ayam sabung bertuahnya’ digantung dengan alasan tidak sahih,” jelasnya.
Justeru beliau berpendapat, SPRM tidak berupaya memberi nasihat kepada pemimpin sebuah parti kerana tiada jaminan maklumat yang diberikan tidak diketahui bakal calon.