Penduduk Sadong Jaya mahu Mahmud
by Wan Ali Amit. Posted on Utusan Borneo March 8, 2011, Tuesday
Bagi pertahan kerusi BN pada pilihan raya negeri akan datang, mereka mahu pemimpin berwibawa
KAMI MAHU MAHMUD: Para penyokong BN dari kawasan Sadong Jaya menyerahkan resolusi di Ibu Pejabat PBB di Kuching semalam, mahukan Mahmud Abu Bekir Taib bertanding di kawasan Sadong Jaya pada pilihan raya negeri akan datang.
KUCHING: Penduduk kawasan Sadong Jaya telah menghantar resolusi mahukan Dato Sri Mahmud Abu Bekir Taib bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sadong Jaya pada pilihan raya negeri akan datang.
Resolusi dan cadangan itu telah diserahkan oleh lebih 120 orang penduduk daripada 13 kampung di kawasan terbabit kepada Setiausaha Eksekutif Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Awang Bujang Awang Antek di Ibu Pejabat PBB Jalan Bako, di sini pada pagi semalam.
Ketua delegasi terbabit, Ain Mahli berkata penyerahan resolusi itu adalah sebagai tanda sokongan padu penduduk mahukan pemimpin yang benar-benar dapat membawa pembangunan di kawasan berkenaan.
“Kami mahu calon N20 Sadong Jaya benar-benar dapat membawa perubahan besar dan pembangunan serta kemajuan di kawasan kami,” kata Ain yang juga Ketua Kaum Kampung Semera Hilir.
Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Bahagian Sosial Kampung Samarahan berkata resolusi dan cadangan itu bukannya main-main, tetapi mereka benar-benar mahukan calon BN berwibawa yang dapat membawa kehidupan lebih baik kepada seluruh rakyat kawasan itu.
Ain menarik perhatian selepas menyerahkan resolusi itu kepada Ibu Pejabat PBB, penduduk-penduduk terbabit mahu resolusi itu dihantar segera kepada Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Negeri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud untuk pertimbangan sewajarnya.
“Kami mahu Ketua Menteri (Pehin Sri Abdul Taib) meletakkan calon berwibawa seperti Mahmud (Abu Bekir) bertanding di DUN Sadong Jaya bagi membawa lebih banyak pembangunan di kawasan kami,” katanya.
Mahmud Abu Bekir merupakan anak Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib yang juga tokoh korporat terkemuka di negeri ini.
Anak kedua Abdul Taib itu kini merupakan timbalan pengerusi Kumpulan Cahya Mata Sarawak (CMS) Sdn Bhd.
DUN Sadong Jaya kini disandang oleh Datuk Wan Abdul Wahab Wan Sanusi yang telah memenangi kerusi terbabit menerusi BN-PBB selama lima penggal.
Wan Abdul Wahab telah menyatakan hasratnya untuk tidak dicalonkan semula pada pilihan raya negeri akan datang ketika berucap membahaskan usul pada Persidangan Dewan Undangan Negeri, November tahun lalu.
Pada pilihan raya negeri 2006, Wan Abdul Wahab memenangi kerusi DUN Sadong Jaya setelah menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Piee Ling dengan majoriti 858 undi sahaja.
Wan Abdul Wahab memperolehi 2,715 undi sementara pencabarnya, Piee Ling me-raih sebanyak 1,857 undi.
Justeru, ramai pemerhati politik beranggapan bahawa DUN Sadong Jaya perlu perubahan drastik dengan meletakkan calon BN yang benar-benar berwibawa pada pilihan raya negeri akan datang bagi mengembalikan keyakinan tinggi rakyat di kawasan terbabit.
2 ulasan:
bukan semua org rakyat n20 sadong jaya mahu kan empayar mahmud terus bermaharajalela di sadong jaya. hanya konco2 nya yang suka mengampu terutama sekali ain mahli yg kaki angkat pelei untuk kepentingan peribadinya.nya geram nak jadi penghulu. sebab ya nya ngumpul balo nye yg sik tauk apo2 yo. berik 2,3 ringgit alu maok ngan nyo molah resolusi yo
sik semuo org d sadong jayo dapat nerima bekir yo. mun nak kalah anta jak stand sio. pr pasti berhabis-habisan lawan nyeh. baru nye tauk..... cdak ain mahli yo kelak jadi katak semo
BN PBB ibupejabat harus menilai semula resolusi ya..Risikan perlu dihantar disadong jaya untuk mendengar suara sebenar rakyat sadong jaya...Anak tempatan menjadi asas utama jika mahu BN Menang di Sadong Jaya.Jangan Perlekehkan Anak Jati di Sadong Jaya dengan meletakkan orang lain...
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!