Dato Sng Chee Hua |
by Patricia Gari.
Parti yang menuntut kerusi parti komponen lain tidak diterima
KUCHING: Barisan Nasional (BN) Negeri tidak akan menerima kemasukan parti politik sebagai komponennya jika awal-awal lagi menuntut kerusi milik parti komponen lain.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Negeri Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata, parti-parti komponen BN mengamalkan permuafakatan dalam pengagihan kerusi.
Sambil menegaskan beliau masih menyifatkan berita berkenaan sebagai khabar angin semata-mata, penubuhan parti baru itu juga tidak logik apabila dikatakan sebagai ‘mesra’ BN.
“Persoalannya bagaimana kita boleh menerima perbuatan seumpama itu sekiranya mereka mahukan kerusi yang sudah pun menjadi milik parti komponen BN,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Rundi berkata demikian apabila diminta mengulas laporan dalam akhbar tempatan yang menyatakan bahawa sebuah parti politik baru bakal ditubuhkan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 diadakan.
Parti itu juga dilaporkan berhasrat bertanding di 10 kerusi Parlimen dalam PRU akan datang dan rata-rata daripada kerusi itu milik Parti Rakyat Sarawak (PRS)dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).
Baru-baru ini seorang pemerhati politik dilaporkan berkata, parti politik baru itu ditubuhkan untuk disertai ahli-ahli politik tanpa parti seperti bekas Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri Larry Sng.
Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdul Karim Rahman Hamzah yang turut senada dengan Rundi, memberitahu bahawa beliau enggan mengulas lanjut kerana baginya itu hanyalah sesuatu yang tidak pasti kesahihannya.
“Kalau parti itu sudah mendaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS), barulah wajar untuk saya memberi komen,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, sesiapa sahaja boleh menubuhkan parti politik baru kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!