Posted on Utusan Borneo August 19, 2011, Friday
KUCHING: Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Masing berkata parti itu tidak akan menyerahkan sebarang kerusi miliknya baik Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen kepada parti lain.
“Kerusi kami bukan untuk dijual beli. Kami akan mempertahankannya tidak kira apa jua cara. Saya tegaskan di sini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Masing yang juga Menteri Kemajuan Tanah berkata demikian apabila diminta mengulas spekulasi sebuah parti baru akan ditubuhkan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 diadakan.
Difahamkan parti itu akan menjadi rakan Barisan Nasional (BN) Negeri dan kini mengintai peluang untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 10 kerusi untuk ditandingi pada PRU nanti dan rata-rata daripadanya adalah milik PRS dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).
“Parti baru itu (jika ia menjadi realiti) tidak boleh menjadi rakan BN jika ia mahu 10 kerusi yang ketika ini diperuntuk kepada parti komponen BN.
“Saya tidak fikir akan ada parti sanggup menyerahkan kerusi mereka dan PRS sudah tentu tidak mahu.
“Jika benar mereka (parti baru) rakan BN mereka seharusnya menyimpan hasrat untuk merampas kerusi DAP,” tambahnya.
Ketika ini, Sarawak mempunyai 31 kerusi Parlimen dengan 14 diperuntukkan kepada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu (SUPP) tujuh, PRS (enam) dan SPDP (empat).
Beliau berkata cadangan menubuhkan parti baru yang hangat diperkatakan ketika ini merupakan inisiatif Datuk Sng Chee Hua, hanyalah impian semata-mata atau motif tidak sihat ke atas BN.
“PRS tidak memandang positif spekulasi seperti itu,” katanya sambil menambah khabar angin seperti itu tidak seharusnya dibangkitkan lebih-lebih lagi ketika PRU bakal diadakan pada bila-bila masa sahaja.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!