Media tradisional terus unggul
by Rusnan Mustafa. Posted on February 14, 2012, Tuesday
Julaihi Narawi
KUCHING: Peningkatan edaran bagi tempoh 2005-Jun 2011 bukti media alternatif bukan ancaman.
Peningkatkan dari segi edaran keseluruhan bagi tempoh 2005 hingga Jun 2011 membuktikan bahawa media tradisio-nal masih lagi unggul di Sarawak di sebalik persaingan daripada media baharu atau alternatif.
Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Pelabur dan Promosi) Julaihi Narawi berkata, statistik itu merupakan hasil kajian yang dibuat oleh Audit Bureau Circulation (ABC).
“Di Sarawak, akhbar tempatan dalam bahasa Inggeris meningkat daripada 60,708 kepada 154,000 naskhah manakala akhbar bahasa Melayu pula melonjak daripada 11,124 kepada 72,600 dalam jangka masa tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia 2012 di sini semalam.
Kursus itu juga mendapat tajaan daripada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Petronas, Ambank, Bank Rakyat dan Sarawak Tourism.
Namun, bagi akhbar bahasa Cina di negeri ini, Julaihi yang juga Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar memberitahu ia mengalami sedikit penurunan iaitu daripada 160,864 kepada 125,179 naskhah.
“Manakala di Semenanjung Malaysia pula, dalam tempoh yang sama akhbar bahasa Inggeris menurun daripada 944,879 kepada 820,700 naskhah dan bahasa Cina pula meningkat daripada 806,487 kepada 869,622 naskhah.
“Bagi akhbar bahasa Melayu, edarannya meningkat daripada 1.7 juta kepada 2.1 juta dalam tempoh yang sama,” kata Julaihi sambil menambah peningkatkan edaran akhbar bahasa Melayu menunjukkan pembaca kini masih kekal memilih media tradisional berbanding media baharu (internet).
Justeru, beliau menyarankan agar pihak yang terlibat dalam kewartawanan mencari alternatif untuk memastikan media tradisional dapat survival ketika bersaing dengan media baharu (internet).
Selain itu, Julaihi turut menasihati para wartawan agar bersikap bertanggungjawab dan berdisiplin dalam penulisan mereka supaya tidak mendatangkan kesan negatif kepada pembaca.
“Saya puji sikap pengamal media tradisional yang menulis berdasarkan fakta dan berdisiplin berbanding media baharu (internet) yang segelintirnya hanya menggunakan nama samaran dan menulis tanpa fakta sebenar,” ujarnya.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Chamil Wariya, Pengarah Penerangan Sarawak Resat Salleh, Pengurus Bank Rakyat Cawangan Kuching Azman Abdul Aziz dan tetamu kehormat lain.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!