Cadangan tukar Julau dengan Mas Gading ‘kenyataan melampau’
Posted on June 13, 2012, Wednesday
KUCHING: Cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan Wong Judat supaya kerusi Julau ditukar dengan Mas Gading dianggap sebagai ‘kenyataan melampau’.
“Menetapkan terma untuk Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan menasihati Barisan Nasional (BN) untuk menukar kerusi adalah kenyataan melampau daripadanya,” kata Ketua Publisiti PRS Wilson Nyabong menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Dalam kenyataannya menghalang Ahli Parlimen Julau Datuk Joseph Salang Gandum bertanding pada pilihan raya akan datang, Wong mencadangkan PRS menukar Julau dengan Mas Gading di bawah Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).
Cadangan lain yang ditetapkan Wong adalah untuk menggantikan Salang di Julau, mengulangi kenyataan bahawa beliau akan bertanding di kerusi berkenaan sekiranya PRS menurunkan Salang.
“Saya rasa menukar Julau dan Mas Gading akan menyelesaikan masalah yang dihadapi SPDP dan PRS,” ujar Wong yang merupakan Naib Presiden SPDP seperti yang dilaporkan semalam.
Sementara itu, Timbalan Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Peter Minos menjelaskan, sudah terlalu lewat untuk menukar kerusi bagi menghadapi pilihan raya.
Beliau berkata, pilihan raya akan diadakan pada bila-bila masa, adalah menjadi mimpi ngeri sekiranya ada perkara dilakukan pada saat-saat akhir.
Menurut Minos, parti dan calon berpotensi mempunyai sekurang-kurangnya setahun untuk menyiapkan diri.
“Pilihan raya mungkin diadakan pada awal Julai atau terbaru pada September.
“Adalah tidak baik melakukan perubahan drastik sekiranya pilihan raya hampir diadakan,” jelasnya.
Minos yang merupakan Pengerusi PBB Cawangan Opar memberitahu, pertukaran kerusi pada masa sekarang akan memberi kelebihan kepada pembangkang.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!