Polis hairan pihak bangkit isu dengan orang Sarawak
Utusan Borneo 12 September 2012, Rabu
KUCHING: Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata beliau tidak faham kenapa ada pihak yang membangkitkan isu dengan orang Sarawak yang beliau sifatkan secara amnya sebagai sangat peramah.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai beberapa laman ‘anti Sarawak’ dan ‘antiorang Sarawak’ yang muncul dalam Facebook barubaru ini sekali gus menimbulkan kemarahan rakyat Sarawak dalam laman sosial itu.
“Saya sebenarnya tidak tahu kenapa ada pihak yang ada isu dengan rakyat Sarawak atau negeri ini.“Saya sudah berada di sini selama lapan bulan dan saya mendapati rakyat di sini amnya sangat peramah,” kata Acryl ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya yang dianjurkan oleh polis negeri di sini semalam.
Beliau menambah, walaupun beliau tidak menerima sebarang maklumat berhubung laman sosial terbabit, beliau percaya ia adalah angkara pihak tidak bertanggungjawab yang mahu mencetuskan sentimen negatif di kalangan rakyat Sarawak.
Katanya, beliau akan mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) agar menyiasat perkara itu, dan akan melancarkan siasatan untuk mengesan dalang yang bertanggungjawab jika kandungan halaman tersebut didapati melanggar undangundang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.
Mengenai isu lain, Acryl berkata kes yang melibatkan dua orang lelaki yang didapati memiliki sepucuk pistol dan peluru hidup pada minggu lepas sedang disiasat dengan teliti.
Tambahnya lagi, siasatan berhubung kejadian tersebut masih giat dijalankan.
“Kami masih menyiasat kes ini dengan berhati-hati dari semua sudut… bagaimanapun saya sangat gembira dengan kemajuan siasatan setakat ini,” katanya.
Beliau enggan mengulas mengenai khabar angin bahawa suspek disyaki pembunuh upahan yang didakwa memiliki gambar individu tertentu yang dikatakan adalah sasaran mereka seterusnya, sebaliknya menyatakan polis masih menyiasat perkara tersebut.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!