Rakyat luar bandar Parlimen Sibu kerugian di bawah pembangkang
SIBU (5 April 2013, Jumaat- Utusan Borneo): Rakyat di kawasan Parlimen Sibu terutama di luar bandar telah kerugian sejak tiga tahun lepas sejak kerusi Parlimen terbabit jatuh ke tangan pihak pembangkang.
Setiausaha Politik Ketua Menteri Andrew Shilling Bangit berkata dalam tempoh tiga tahun lepas, rakyat di luar bandar tidak menerima apa-apa pembangunan daripada kerajaan pusat.
“Dalam masa tiga tahun ini, kita di luar bandar tidak terima apa-apa pembangunan daripada kerajaan pusat kerana kita tidak ada Ahli Parlimen daripada kerajaan.
“Oleh itu, kita di luar bandar harus memberi sokongan kuat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi mendapat lebih banyak peruntukan daripada kerajaan pusat untuk kawasan pedalaman dan luar bandar,” ujarnya kepada Utusan Borneo, semalam.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan mesin pelerai padi kepada penduduk Rumah Penguang di Sungai Banyok, Batang Igan semalam.
Menurut Andrew lagi, penduduk di luar bandar masih lagi memerlukan banyak projek pembangunan, yang hanya mampu diberikan oleh kerajaan BN.
“Jangan kita terlalu percaya dengan pihak pembangkang yang hanya pandai berkata-kata tetapi tidak mampu membawa sebarang pembangunan.
“Kita telah menghadapi kesukaran dalam masa tiga tahun lepas. Jadikan itu satu pengajaran,” katanya sambil berharap rakyat di rumah panjang perlu lebih sedar betapa pentingnya mempunyai wakil rakyat daripada BN.
Ditanya mengenai isu di luar bandar, khususnya di Parlimen Sibu, Pengerusi Unit Bumiputera Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Sibu memberitahu, isu yang masih dimainkan oleh pihak pembangkang adalah isu tanah.
Isu tanah katanya, masih diputar belit oleh pihak pembangkang terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberitahu bahawa tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) penduduk dirampas oleh kerajaan.
“Tetapi hakikatnya semua tahu kerajaan tidak pernah merampas tanah NCR,” jelasnya sambil menambah pihak pembangkang menggunakan isu terbabit semata-mata untuk kepentingan politik mereka.
Kerusi Parlimen Sibu jatuh ke tangan Parti Tindakan Demokratik (DAP) ketika Pilihan Raya Kecil 2010, yang dimenangi oleh Wong Ho Leng. Pilihan raya kecil ini diadakan berikutan kematian penyandang kerusi, mendiang Datuk Robert Lau.
Sementara itu, Tuai Rumah Penguang berterima kasih kepada kerajaan kerana telah memberi mesin pelerai padi itu yang telah membantu meringankan beban pesawah.
Mesin tersebut katanya, mampu meleraikan sehingga 50 guni tangkai padi dalam masa satu jam.
“Terima kasih kepada BN dan kami akan terus berdiri teguh di belakang kerajaan BN,” ujar beliau.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!