Wanita tidak pandang remeh kerusi tertentu
KUCHING (5April 2013, Jumaat - Utusan Borneo): Jentera Wanita Barisan Nasional (BN) Negeri tidak akan mengambil mudah dan memandang remeh kerusi Parlimen yang dijangka menang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.
Timbalan Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Fatimah Abdullah berkata, Wanita BN Negeri akan bekerja gigih di semua kerusi Parlimen dengan bekerjasama dengan sayap Bapa dan Pemuda parti komponen masing-masing.
“Bagi kawasan-kawasan panas kami semua sudah tahu bagaimanapun kami tidak mahu terlalu selesa dengan kawasan yang dijangka menang.
“Ini kerana perubahan pendaftaran pengundi-pengundi masa kini, yang kebanyakannya adalah golongan muda dan golongan ini adalah mereka yang berpengetahuan dan berfikiran kritikal,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bersama warga Sekolah Kebangsaan (SK) Matu Baru di Kampung Bintawa di sini, semalam.
Menurut Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga itu, sama seperti sebelum ini jentera wanita yang memainkan peranan penting semasa pilihan raya, akan menggunakan pendekatan dari rumah ke rumah untuk sampai ke rakyat peringkat akar umbi.
Malah ujar beliau, wanita PBB khasnya akan berganding bahu dengan semua pemimpin di peringkat akar umbi di mana setiap ketua wanita di Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menjadi ketua bahagian masing-masing.
Tambah Fatimah, setiap kali menjelang pilihan raya, sayap wanita akan mempersiapkan jentera dengan isu-isu serta cabaran yang dijangka akan berlaku.
Mengulas mengenai calon wanita di negeri ini, katanya adalah sudah menjadi harapan agar setiap pilihan raya ada pertambahan calon mewakili kaum wanita.
“Kami memang berharap calon wanita bertambah kerana sehingga kini kami mempunyai calon yang dianggap masih kecil bilangannya,” katanya.
Fatimah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persediaan sayap Wanita BN Sarawak dalam menghadapi pilihan raya, apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat berkuat kuasa Rabu bagi memberi laluan kepada PRU13.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!