Sembah salam dihulur tanda kemaafan dipohon dari zahir dan batin.

Dengan ingatan tulus ikhlas
petang mukaku menunggu cahaya...
TYT anjur rumah terbuka di Astana
Utusan Borneo 17 Ogos 2012, Jumaat
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dan Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah akan mengadakan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Astana, Petra Jaya di sini pada Hari Raya pertama dan kedua.
Pada Hari Raya pertama, mereka akan menerima kunjungan daripada orang kenamaan dan tetamu kehormat tempatan yang lain bermula jam 10 pagi hingga 2 petang.
Manakala pada Hari Raya kedua, mereka akan menerima kunjungan daripada orang awam dan tetamu lain dari jam 10 pagi hingga 2 petang.
Pada Hari Raya ketiga, mereka akan mengadakan Rumah Terbuka dari jam 10 pagi hingga 2 petang di kediaman mereka di No.88, Sri Impian, Jalan Temenggong, Matang.
Tun Salahuddin dan Toh Puan Norkiah seterusnya akan membuat lawatan ke atas orang kenamaan tempatan dan sahabat mereka di sekitar Kuching pada Hari Raya ketiga manakala di Sibu, mereka akan mengadakan Rumah Terbuka di Rumah Rehat Kerajaan Sri Rajang pada 30 Ogos dari jam 10.30 pagi hingga 1 petang.
Selain itu, Tun Salahuddin dan Toh Puan juga akan turut membuat kunjungan Hari Raya ke atas orang kenamaan dan sahabat mereka di Miri.
Orang ramai yang ingin mengunjungi Rumah Terbuka Hari Raya TYT dinasihatkan agar berpakaian sesuai dan tidak menggunakan seluar jeans, baju-T dan selipar.
KM anjur rumah terbuka di BCCK
Utusan Borneo 17 Ogos 2012, Jumaat
KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Puan Sri Ragad Kurdi Taib akan mengadakan Rumah Terbuka Hari Raya 2012 pada Hari Raya pertama dan kedua di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini.
Rumah terbuka pada hari pertama akan bermula dari jam 10.30 pagi hingga 12.30 dan dari 2.30 petang hingga 4.30 petang, manakala pada Hari Raya kedua, Ketua Menteri akan mengadakan rumah terbuka dari jam 10 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Bagi pengunjung yang tidak ada pengangkutan, sebuah bas akan disediakan untuk mereka dari Kompleks Letak Kereta Saujana, Jalan Masjid ke BCCK dan sebuah lagi dari hadapan Dewan Undangan Negeri Lama, Petra Jaya.
Pengunjung-pengunjung juga dinasihatkan untuk berpakaian kemas dan sopan.
Segera mula kerja, elak tindakan
by Patricia Gari. Utusan Borneo 16 Ogos 2012, Khamis
Wan Junaidi kecewa kontraktor berlengah selepas mendapat tender
KUCHING: Kontraktor yang telah ditawarkan projek pembangunan fizikal di kawasan Parlimen Santubong diminta memulakan kerja-kerja pembinaan segera jika tidak mahu tindakan diambil ke atas mereka.
Ahli Parlimen Santubong Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kontraktor-kontraktor berkenaan telah diberikan tender dua bulan lalu namun sehingga ke hari ini mereka belum memulakan sebarang kerja-kerja pembinaan.
Beliau yang ternyata kecewa dengan tindakan kontraktor-kontraktor berkenaan memberitahu telah mengarahkan Pegawai Daerah (DO) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil tindakan sewajarnya kepada kontraktor-kontraktor terbabit.
“Tender telah diberikan kepada kontraktor-kontraktor pada 16 Jun lalu dan kini sudah dua bulan berlalu, mereka masih belum lagi memasuki tapak untuk memulakan kerja-kerja pembinaan.
“Jika mereka (kontraktor) ini masih tidak memasuki tapak seminggu selepas Hari Raya Aidilfitri nanti saya mahu DO dan JKR memaklumkan kepada saya mengenai perkara ini secara bertulis agar tindakan sewajarnya boleh diambil.
“Saya mahu JKR memanggil kontraktor-kontraktor berkenaan untuk mengetahui masalah sebenar dihadapi mereka sehingga kelewatan memulakan projek berlaku,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian cek ‘Touch Point’ Siri Keempat Ahli Parlimen Santubong di sini semalam.
Wan Junaidi yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat berkata, kelewatan kontraktor-kontraktor dilantik untuk memulakan projek berkenaan tidak masuk akal memandangkan projek-projek berkenaan bernilai kurang dari RM500,000.
Beliau berkata projek-projek berkenaan melibatkan pembinaan baik pulih parit kritikal dalam kampung, projek membaik pulih pembinaan masjid dan surau serta projek membaik pulih jalan kampung.
“Saya mahu JKR dan DO di dua kawasan iaitu Kuching dan Lundu agar melihat, mengenal pasti dan memantau kontraktor-kontraktor ini. Supaya mereka boleh memulakan kerja dengan segera dan mengikut piawaian ditetapkan.
“Kelewatan mereka itu telah menimbulkan masalah kepada penduduk kampung yang berkaitan,” ujarnya.
Sementara itu, pada majlis berkenaan beliau menyerahkan cek ‘Touch Point’ bernilai RM396,500 iaitu peruntukan baik pulih parit kritikal dalam kampung melibatkan empat buah kampung, bantuan kecemasan yang diberi kepada 14 penerima dan peruntukan khas untuk rakyat dengan 53 penerima.
Penerima-penerima cek adalah dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai dan Demak Laut.
Hadir sama pada majlis itu isteri beliau Feona Wan Junaidi dan Pemanca kawasan Kuching Utara, Rashidi Junai.
Lompat parti bukan ciri PBB
by Patricia Gari. Utusan Borneo 16 Ogos 2012, Khamis
Semua ahli amat setia, isu dimainkan pihak tertentu untuk mengalih perhatian rakyat
KUCHING: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Daud Abdul Rahman berkata, isu lompat parti tidak wujud dalam parti itu kerana semua ahlinya amat setia kepada parti.
“Meninggalkan parti dan menyertai pembangkang semata-mata untuk kepentingan peribadi bukan budaya dalam PBB. Saya yakin semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen (AP) dari PBB akan kekal setia bersama PBB.
“Isu ahli atau perwakilan PBB lompat parti hanya ke-rana tidak dipilih untuk ber-tanding semula tidak berlaku. Ini bukan konsep dalam PBB… Secara umumnya kita tidak melihat banyak isu lompat parti berlaku di Sarawak,” katanya kepada pemberita semalam apabila diminta mengulas isu kemungkinan perwakilan PBB keluar parti yang dibangkitkan pihak tertentu baru-baru ini.
Beliau ditemui selepas menghadiri majlis penyerahan zakat perniagaan daripada Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) sebanyak RM221,453 kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS), semalam.
Penyerahan zakat perniagaan itu dilakukan oleh Pengerusi PUSAKA yang juga Men-teri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan kepada Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mewakili TBS pada satu majlis ringkas di Pejabat Ketua Menteri di Wisma Bapa Malaysia di Petra Jaya, di sini.
Daud yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) berkata, isu yang digembar-gemburkan oleh pembangkang itu hanyalah helah mereka untuk menarik perhatian dan sokongan rakyat.
Beliau menambah, situasi politik di Sarawak tidak sama dengan tempat atau negeri lain dengan ada perwakilannya apabila tidak dipilih semula mempertahankan kerusi bertindak keluar parti dan menyertai pembangkang.
“Budaya lompat parti tidak wujud terutama dalam kalangan Ahli Parlimen kita (PBB), saya katakan begitu kerana kita bakal berdepan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
“Saya yakin jika ada yang tidak dipilih semula, mereka tidak akan lompat parti dengan begitu mudah tetapi siapa dicalon atau sebaliknya terpulang kepada pucuk pimpinan parti,” katanya.
ADUN Tupong itu berkata, contoh kesetiaan ahli PBB terhadap parti walaupun sudah bersara atau tidak dicalonkan semula dapat dilihat apabila mereka terus bersama parti sebagai ahli biasa.
“Kita tengok mereka yang sudah bersara atau tidak dicalonkan semula terutama pada Pilihan Raya Negeri tahun lepas masih bersama kita.
Saya rasa tidak perlu nyatakan siapa mereka itu. Dari sini kita boleh nampak betapa setianya mereka kepada parti dan yakin mereka akan terus setia kepada parti.
“Memang mereka berasa sedikit terkilan tetapi tidak sehingga mendorong mereka lompat parti kerana mereka tahu dalam PBB ada semangat untuk membantu rakyat, dicalon atau tidak itu perkara lain kerana anda boleh membantu rakyat dalam apa jua kapasiti,” ujarnya.
Ditanya sama ada budaya setia kepada parti turut wujud dalam parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain di Sarawak, Daud berkata ia di luar bidang kuasanya untuk mengulas bagi pihak parti lain.
“Saya tidak ada kuasa untuk bercakap mengenai parti lain tetapi saya sangat yakin budaya PBB adalah begitu… sangat setia kepada parti. Anda boleh melihat mereka yang sudah bersara masih bersama parti,” katanya.
Sarawak mempunyai 31 kerusi Parlimen dan dibahagikan kepada empat komponen parti BN dengan PBB di-peruntukkan 14 kerusi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak, SUPP (tujuh), Parti Rakyat Sarawak, PRS (lima) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak, SPDP (empat).
Anda dinasihat agar tidak mengakses sebarang maklumat jika terdapat ketidaksesuaian, dan tinggalkan laman ini dengan serta-merta.
Semua catatan di blog ini hanyalah pandangan peribadi dan tidak mewakili mana-mana pihak, individu atau parti politik.
MUKAPETANG tidak bertanggungjawab kepada anda, atau sesiapa sahaja yang membuat sebarang tuntutan bagi kehilangan, kemusnahan (secara langsung atau tidak langsung), kos, liabiliti atau gantirugi terhadap ketidaktepatan, hakcipta serta kesilapan maklumat/media yang terdapat dalam blog ini.
Copyright 2010 MUKAPETANG™
Designed by CamelGraph |
Bloggerized by Lasantha - Premiumbloggertemplates.com
Top Web Hosts | Web Development by WebDesigningCompany.Net | websites for accountants